TAPAH - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diberi peluang sekali lagi untuk memilih Perikatan Nasional (PN) dan memperbetulkan kesilapan lama memangkah parti penyandang, Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penduduk di DUN berkenaan belum pernah merasai pengalaman dipimpin calon Pas mewakili PN memandangkan ia kawasan yang sinonim dengan UMNO-BN sejak dahulu lagi.
“Sekarang pengundi Ayer Kuning diberi peluang memperbetulkan kesilapan mengundi dahulu. Peringkat Parlimen dah pilih BN, peringkat negeri kena pilihlah PN.
“Anda semua tak pernah rasa macam mana ‘berwakil rakyatkan’ calon Pas mewakili PN sebagaimana negeri lain rasa.
“Dahulu Pahang pun sama macam anda juga, Pas nak menang di Pahang cukup payah! Tetapi, apabila mula menang, ternyata wakil rakyat Pas memang individu yang bersama rakyat,” katanya.
**media[3086587]**
Beliau berkata demikian ketika ceramah umum PN di Kampung Changkat Petai, di sini pada Selasa.
PN kali ini mempertaruhkan Yang Dipertua Pas Tapah, Abd Muhaimin Malek yang juga merupakan pengetua Maahad Tahfiz Addin Ayer Kuning.
Calon 02 itu dicabar Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir mewakili BN dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 39.
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat BN, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh 14 hari berkempen dengan pengundian awal PRK tersebut pada 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi.
Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Ayer Kuning adalah seramai 31,897 orang dengan 31,315 merupakan pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berpandangan, pengundi Ayer Kuning patut memberikan laluan kepada Abd Muhaimin untuk mengemudi DUN terbabit.
Beliau menyifatkan Abd Muhaimin sebagai sosok yang berpendidikan tinggi, berakhlak mulia, disenangi ramai dan mampu menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin.
“Ustaz Muhaimin ini akan menjadi pemudahcara untuk penduduk, pengundi DUN Ayer Kuning pasti tak rugi pilih beliau.
“Jadi, saya pasti Ayer Kuning akan buat keputusan yang terbaik, minta anak-anak yang bekerja di luar balik ke sini dan tunai tanggungjawab sebagai pengundi,” ujar beliau lagi.