SUNGAI SIPUT – Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam mengambil keputusan mengemukakan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung keputusan pemilihan cabang itu yang berlangsung pada Ahad.
Rayuan itu dibuat susulan kekalahannya kepada Novinthen Krishnan dengan majoriti tipis 32 undi selepas memperoleh 357 undi berbanding 389 undi yang diraih lawannya.
Menurut Kesavan, beberapa insiden dan keraguan yang berlaku sepanjang proses pengundian mendorongnya mengambil langkah tersebut demi memastikan integriti pemilihan parti terus terpelihara.
“Sejak keputusan pemilihan Cabang Sungai Siput diumumkan, saya telah dihubungi oleh anggota cabang khususnya lebih 600 anggota yang mengundi pasukan saya mempersoalkan ketelusan proses pemilihan tersebut.
"Berdasarkan kepada pola pengundian yang agak pelik dan jelas wujud manipulasi undi yang saya peroleh dan calon Timbalan Ketua Cabang pasukan saya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kesavan berkata, pihaknya yakin dengan proses rayuan tersebut dan berharap segala keraguan berbangkit dapat diperjelaskan demi memastikan ketelusan pemilihan parti.
“Sementara menanti keputusan proses bantahan, saya mohon seluruh anggota Cabang Sungai Siput bersabar menghadapi sedikit ujian.
"Kita juga berharap mereka mematuhi saluran proses dalaman parti demi keluarga besar Keadilan (PKR),” katanya.
Dalam pemilihan tersebut, Novinthen diumumkan menang jawatan Ketua Cabang menewaskan Kesavan yang merupakan penyandang.
---