PRK Ayer Kuning: Bersatu Kelantan bantu tawan pengundi atas pagar

KOTA BHARU – Seramai 50 petugas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan digerakkan ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai sebahagian daripada jentera kempen Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, petugas dihantar bertugas sejak sehari sebelum penamaan calon dan akan kekal sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian pada 26 April ini.

“Petugas kita bekerjasama rapat dengan jentera Pas dan separuh daripadanya terdiri daripada Srikandi Bersatu.

“Mereka menggunakan pendekatan bersemuka dari rumah ke rumah untuk mendekati pengundi, khususnya pengundi atas pagar,” katanya ketika ditemui pada Seminar Kebudayaan Islam 2025 di Putik, Pengkalan Chepa, hari ini.

Kamarudin, yang juga Naib Pengerusi PN Kelantan, menegaskan bahawa kempen secara langsung lebih efektif berbanding ceramah besar seperti lazimnya dilakukan ketika pilihan raya umum.

“Kita dapat dengar sendiri keluhan dan persoalan pengundi, malah dapat beri penjelasan terus berhubung isu-isu semasa,” katanya.

Mengulas cabaran PRK kali ini, beliau berkata, lebih 40 peratus pengundi di DUN Ayer Kuning bukan Melayu, sekali gus memberi cabaran tersendiri kepada PN.

Namun, katanya, PN tetap yakin kerana calon yang diketengahkan adalah anak tempatan, muda dan mempunyai latar belakang agama.

“Walaupun di atas kertas nampak sukar, tapi dengan isu semasa yang dimainkan dan pendekatan kempen yang tepat, kita percaya sokongan boleh berubah.

“Krisis keyakinan terhadap UMNO serta keraguan orang Melayu terhadap DAP juga dilihat memberi kelebihan kepada PN,” katanya.

Kamarudin menegaskan bahawa misi utama sekarang adalah memastikan kemenangan calon PN tanpa mengira parti komponen.

“Ini bukan soal parti, tapi soal memastikan gabungan PN menang,” katanya.