TAPAH - Parti Sosialis Malaysia (PSM) menunjukkan kelainan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada kali ini apabila sebuah traktor dan laungan ‘hidup rakyat’ mengiringi calonnya, Bawani KS.
Bawani yang manis berpakaian kasual sambil memakai vest merah berlambangkan PSM memasuki premis Dewan Merdeka, di sini pada jam 9.11 pagi bagi menghantar borang penamaan calon.
Turut mengiringi anak jati tempatan berusia 39 tahun itu ialah Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan atau Arul dan barisan penyokong parti berkenaan.
Meskipun tiada sebarang pergerakan atau gimik kelihatan sejak awal pagi, PSM menonjolkan sisi berbeza pada kali ini demi mendapatkan sokongan penduduk DUN Ayer Kuning.
Penyokong yang seragam berpakaian baju-T warna merah dilihat melaungkan kata-kata semangat dan dikir barat, lirik ciptaan sendiri.
Bawani yang merupakan Timbalan Setiausaha Agung merangkap Pengerusi PSM Perak terbabit berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau juga aktif mewakili pelbagai komuniti sebagai peguam hak asasi manusia dan mempunyai firma guaman dengan rakan kongsi iaitu Tetuan Bawani Nur.
Bukan itu sahaja, Bawani pernah bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Ishsam Shahruddin pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
Bagaimanapun, Bawani kalah dan hilang deposit dalam pertembungan lima penjuru tersebut kerana Allahyarham Ishsam memperoleh undi tertinggi iaitu 9,088 undi manakala Mohd Nazri daripada Pakatan Harapan sebanyak 6,875 undi.
Pada PRU14 pula, beliau menjadi calon PSM bagi kerusi DUN Malim Nawar, namun tewas apabila memperoleh hanya 213 undi.