'Bukan rombakan, tapi penambahbaikan PN' - Tuan Ibrahim

KOTA BHARU - "Bukan rombakan tapi penambahbaikan."

Demikian kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai laporan bahawa Perikatan Nasional (PN) yang dijangka melaksanakan rombakan struktur pimpinannya.

Menurut Tuan Ibrahim, penambaikan itu bertujuan memperkasakan Majlis Presiden dan memperkukuhkan pasukan media serta Jabatan Pilihan Raya gabungan berkenaan melalui satu jawatankuasa yang sudah ditubuhkan.

"Jawatankuasa ini belum lagi mengadakan mesyuarat kerana baru ditubuhkan tetapi perkara utama ialah melihat keseluruhan Perlembagaan parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kubang Kerian di Salor pada Jumaat.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail dan ADUN Pasir Tumboh, Abd Rahman Yunos.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu, ahli jawatankuasa membabitkan lima pimpinan tertinggi daripada setiap parti termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, dan Pengarah Pilihan Raya.

Jelas beliau, penambaikan itu juga tidak melibatkan sebarang masalah dengan parti gabungan tetapi perlu selepas melihat kelemahan beberapa sesi pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, setiap keputusan akan dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi PN kerana semua tindakan mengambil kira parti lain.

"Lagipun kita akan berdepan dengan pilihan raya di Sabah dan Melaka. Jadi perlu perkukuhkan semula termasuk lantikan di peringkat negeri," katanya.

Memetik laporan Malaysiakini sebelum ini, PN dijangka melaksanakan rombakan struktur kepimpinannya selepas gabungan itu bersetuju menubuhkan jawatankuasa bagi menilai penambahbaikan organisasi.

Melalui laporan itu juga, Pas turut mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada PN secara keseluruhannya.