TAPAH - [DIKEMAS KINI] Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka Tapah di sini.
Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kertas pencalonan daripada tiga individu bagi pemilihan di kerusi N48 tersebut sebaik tempoh berakhir jam 10 pagi.
"Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaannya," katanya.
BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu dicabar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 40.
Pusat penamaan calon di Dewan Merdeka Tapah dibuka pada jam 9 pagi dan proses mengemukakan borang pencalonan selama satu jam itu berlangsung dalam keadaan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Mohamad Yusri yang mengenakan baju Melayu biru lengkap bersamping tiba di pusat penamaan calon pada jam 9.05 pagi diiringi Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir memberi sokongan pimpinan komponen Kerajaan Perpaduan iaitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Pengerusi DAP Pusat, Nga Kor Ming dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang.
Abd Muhaimin yang merupakan Pengetua Maahad Tahfiz Addin Air Kuning pula diiringi pimpinan tertinggi parti antaranya Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Jurucakap PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Gerakan, Datuk Dominic Lau.
Bawani yang merupakan seorang peguam mempertaruhkan diri bertanding kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hadir diiringi penyokong dan pencadang masing-masing.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
SPR menetapkan tempoh 14 hari berkempen dengan pengundian awal PRK tersebut pada 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi.
Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Ayer Kuning adalah seramai 31,897 orang dengan 31,315 merupakan pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.
Sebanyak 19 pusat mengundi biasa membabitkan 63 saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga saluran akan digunakan.
PRK DUN Ayer Kuning adalah PRK ke-11 selepas pilihan raya umum pada 2022 iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu; PRK DUN Kuala Kubu Baharu; PRK Sungai Bakap; PRK DUN Neggiri dan DUN Mahkota, Johor.
Pada PRU15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi selepas memperoleh 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (PH) (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan PSM (586).
INFO
Susunan dalam kertas undi:
1. Dr Mohamad Yusri Bakir (BN)
2. Abd Muhaimin Malek (PN)
3. Bawani KS (PSM)