Pelik, Pas kesal Ahmad Samsuri dilabel TCO

KOTA BHARU - Pas meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pihak berkuasa yang melabel dan menandakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai individu di bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan maruah seorang pemimpin.

“Saya pun rasa pelik. Memang di peringkat pimpinan, ada polis pengiring, tetapi ditandakan sebagai TCO dan pihak berkaitan terpaksa membuat pengesahan terlebih dahulu,” katanya.

Difahamkan, insiden itu berlaku ketika Ahmad Samsuri dalam perjalanan ke Sabah sebelum ini.

Tuan Ibrahim berpendapat, sebenarnya tiada masalah untuk Ahmad Samsuri memasuki negeri tersebut.

“Ini bukan soal keselamatan kawal diri. Sebagai Menteri Besar, beliau sepatutnya boleh masuk. Beliau bukan penjenayah. Orang lain masuk tiada masalah, tiba-tiba beliau dikenakan TCO. Sebenarnya tiada isu... isunya kenapa tiba-tiba beliau disekat?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kubang Kerian di Salor, pada Jumaat.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail dan ADUN Pasir Tumboh, Abd Rahman Yunos.

Tuan Ibrahim turut mendedahkan bahawa seorang lagi individu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan tindakan yang sama.

“Individu itu merupakan pimpinan tertinggi Bersatu, tapi biarlah dulu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Ahmad Samsuri mendakwa dirinya ditandakan sebagai individu di bawah status TCO dalam sistem kawalan sempadan sejak pertengahan tahun lalu.

Melalui sistem keselamatan negara, TCO merupakan bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.