SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) menyelar Pas kerana mendakwa parti itu menunggang semua isu dikaitkan dengan agama dan kaum termasuk membabitkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, isu itu dibangkitkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi penulisan terbaharu dalam Minda Presiden Pas bertajuk ‘Mengutamakan Cadangan DAP Membelakangi Ketetapan Allah’ yang dibaca beliau.
Dakwanya, terdapat tiga perkara penting yang disentuh oleh Presiden Pas yang perlu dijelaskan beliau kepada umum supaya tidak berlaku penipuan dan kekeliruan.
“Pertama isu berkaitan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun. Cadangan ini asalnya manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dipersetujui bersama semua parti komponen termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Anwar bersikap jujur dengan menerima cadangan tersebut di saat beliau berada di puncak kuasa kerana jika cadangan tersebut dipersetujui Anwar ketika beliau pembangkang, ia tidak membawa nilai tinggi. Sikap terpuji Perdana Menteri ke-10 ini sangat berbeza dengan Perdana Menteri sebelum ini yang berjanji untuk menyerahkan kuasa ketika menjadi pembangkang tetapi menangguhkannya ketika di puncak kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan Abdul Hadi menolak gesaan DAP untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dengan mengatakan cadangan itu membelakangi ketetapan ALLAH SWT.
Abdul Hadi berkata, ramai yang menerima idea itu seolah-olah melupakan atau tidak mempedulikan dasar lebih penting bagi mencapai wawasan dunia dan akhirat yang mewajibkan Islam memimpin negara.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, berhubung isu kedua kononnya DAP menentang dasar Islam, Presiden Pas lupa bahawa ketika mereka bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, Abdul Hadi sendiri menyatakan hukum hudud ditangguhkan sehingga isu gaji minimum dilaksanakan dan ketika itu tidak pula Pas menuduh cadangan berkenaan datang daripada DAP.
"Berkaitan isu hukum hudud, Pas sendiri gagal melaksanakan ketika menjadi kerajaan Persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN). Malah Rang Undang-Undang (RUU) 355 gagal dibawa ke Parlimen untuk dipinda sepertimana didendangkan ketika menjadi pembangkang. Adakah Pas boleh lupa semua perkara ini yang menjadi sebahagian sejarah besar politik negara?” soalnya.
Muhammad Faiz menjelaskan, Abdul Hadi turut menyentuh mengenai isu kumpulan yang keluar dari Pas namun tidak lagi berjuang untuk Islam.
“Mungkin Presiden Pas lupa bahawa cadangan mengehadkan tempoh Perdana Menteri ini datang daripada PH yang turut dianggotai Amanah. Amanah adalah parti Islam yang berbeza pendekatan dalam erti kata sederhana dan tidak ekstrem seperti Pas.
“Hanya kerana pendekatan sederhana ini Amanah dilabel liberal atau kuda DAP sedangkan sederhana atau wasatiah adalah prinsip Islam dan ditekankan di dalam al-Quran (Surah Al-Baqarah: Ayat 143),” ujarnya.
Muhammad Faiz menegaskan, selain itu, cadangan had tempoh Perdana Menteri tersebut merupakan langkah integriti dan sifat tatakelola cukup tinggi ditunjukkan Kerajaan Madani yang dianggotai Amanah serta ia bertepatan dengan prinsip Islam yang mengangkat prinsip amanah.
Justeru, kata beliau, penjelasan Abdul Hadi terhadap tiga isu utama berkenaan sangat penting supaya pemikiran masyarakat terutama orang Islam Melayu tidak lagi dipesongkan.
“Pas harus bersikap pembangkang yang konstruktif dan bukan hanya membangkang dengan menunggang semua isu dikaitkan dengan agama dan kaum. Malaysia tidak akan aman dan maju jika kita diperangkap dengan permainan agama dan kaum. Ironinya, permainan agama dan kaum ini adalah gendang penjajah,” bidasnya.