IPOH - Pemilihan wakil rakyat yang sehaluan dengan kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning April ini dapat meneruskan pembangunan kawasan dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, terdapat perbezaan terhadap peranan dan tugas Pegawai Khas Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurut beliau, pegawai khas berperanan melaksanakan tugasan daripada menteri besar dan tidak mempunyai kuasa membuat sebarang keputusan.
"Sebagai pegawai khas mereka menjalankan tugas-tugas yang diarahkan oleh menteri besar yang mana mereka akan turun padang untuk melakukan tinjauan berdasarkan permohonan daripada rakyat di kawasan pembangkang.
"Mereka akan siasat sama ada permohonan itu perlu atau tak perlu, atau permohonan itu yang perlu diluluskan segera dan ada senarai kuantiti, itu tugas pegawai khas, tidak boleh lulus pun," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya 2025 kepada pasukan badan beruniform di Dewan Bankuet di sini pada Rabu.
Beliau mengulas mengenai hantaran di Facebook Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Perak, Muhammad Rif'aat Razman yang menggambarkan rakyat di Ayer Kuning tidak akan rugi memilih calon Perikatan Nasional (PN) sebagai wakil rakyat berikutan Menteri Besar Perak masih boleh melantik seorang lagi pegawai khas di DUN itu.
Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, ADUN mempunyai keistimewaan untuk berkomunikasi secara langsung dengan menteri besar dalam mencadangkan projek pembangunan untuk kawasan mereka.
"Wakil rakyat biasanya lebih tahu, dia boleh datang jumpa menteri besar dan akan maklumkan tentang keperluan pembangunan dalam kawasannya.
"Sebab itu orang berlumba-lumba hendak bertanding menjadi wakil rakyat bukannya berlumba-lumba nak jadi pegawai khas. Jadi, orang Ayer Kuning perlu pilih wakil rakyat daripada parti kerajaan," katanya.