Dr Akmal nak hadiahkan Sanusi cermin

MELAKA - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mahu menghadiahkan cermin kepada Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, hadiah berkenaan supaya individu itu dapat mencerminkan dirinya terlebih dahulu yang suatu ketika pernah berkawan dengan DAP.

"Saya nak hadiahkan cermin untuk Sanusi, supaya dia tengok balik ketika dia berkawan dengan DAP dulu.

"Ada ke PAS tegur DAP, macam Pemuda UMNO tegur DAP hari ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, malah parti itu didakwa pernah menganggap pemimpin DAP sebagai khalifah.

Terdahulu, tular video ucapan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), ketika Pelancaran Jentera Air Kuning PN Air yang berseloroh mahu menghadiahkan kain batik bercorak roket kepada Pemuda UMNO.

Katanya, mendakwa Barisan Nasional (BN) sanggup 'membuang' PN dan lebih memilih DAP yang dimusuhi berpuluh tahun untuk menjadi rakan sebilik, rakan selimut dan sekarang rakan sebantal.