'Pas yang gagal ‘jinakkan’ DAP, Pakatan Rakyat akhirnya berpecah'

ALOR SETAR – Pas sebenarnya gagal ‘menjinakkan’ DAP agar sejajar dengan aspirasi perjuangan parti itu ketika kedua-duanya bergabung di bawah Pakatan Rakyat.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, ketiadaan persefahaman dalam perikatan yang ditubuhkan pada 2008 akhirnya menyebabkan kedua-duanya membawa haluan masing-masing pada 2015.

Menurutnya, situasi itu berbeza dengan UMNO yang konsisten bersama Pakatan Harapan (PH) dan bukannya menjalinkan hubungan secara langsung dengan DAP.

“Hubungan UMNO dengan DAP tidak seperti hubungan Pas dan DAP suatu ketika dahulu. Ketika itu, kerjasama Pas-DAP seolah-olah menunjukkan Pas hanya menurut dan mengiyakan segala kemahuan DAP, walaupun bertentangan dengan kepentingan agama dan Melayu. Kembalilah kepada sejarah dan nilaikan sendiri.

“Berbeza dengan UMNO, pemimpin kami tidak tunduk kepada kehendak DAP sebagaimana Pas yang menghalalkan segala permintaan DAP. Malah, wujud perbezaan pendapat antara UMNO dan DAP dalam isu-isu tertentu, namun kami tidak berdiam diri. Sebaliknya, kami lantang mempertahankan isu sensitif seperti sijil halal,” jelasnya.

Naib Ketua Bahagian UMNO Alor Setar itu berkata demikian sebagai respons terhadap cabaran yang dilontarkan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Khamis.

Muhammad Sanusi mencabar UMNO agar memutuskan hubungan dengan DAP sekiranya parti itu benar-benar ikhlas mahu kembali kepada landasan perjuangan asalnya sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu.

Menurutnya, langkah itu adalah asas yang perlu dilakukan UMNO bagi membuktikan parti tersebut masih relevan.

Bagaimanapun, Syed Mohd Johan Rizal menegaskan bahawa UMNO tidak terkesan dan tidak perlu melayan provokasi politik Muhammad Sanusi yang disifatkan sebagai ‘separuh masak’.

“Masih ingatkah Sanusi tentang fatwa politik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mewajibkan umat Islam menyokong DAP? Ternyata Pas begitu menyayangi DAP sehingga sanggup mengibarkan bendera DAP memenuhi jalan raya ketika itu.

“Yang penting, UMNO tetap konsisten dengan perjuangan asalnya serta terus melaksanakan pelbagai dasar kerajaan menerusi kementerian, agensi dan jabatan, antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara),” katanya lagi.

Tegasnya, tidak timbul isu bahawa UMNO telah terkhilaf daripada perjuangan asal sebagaimana yang dimomokkan oleh Muhammad Sanusi.