[ANALISIS] Lompat parti dah macam virus Covid-19, demi rakyat atau mencari lubuk duit?

HURU hara dan berkecamuk... begitulah kemelut dan pergolakan politik yang dapat digambarkan terhadap apa yang berlaku ketika ini.

Melihat beberapa negeri seperti Johor, Perak, Melaka dan Kedah tumbang gara-gara gerakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat seperti 'ganasnya' virus Covid-19 yang merebak kepada sesama manusia hingga membawa maut.

Pemimpin lompat parti daripada satu parti ke parti lain dalam proses meneruskan perjuangan mereka atau sebenarnya ada agenda tersembunyi disebalik itu.

Atau mungkin juga mereka terpaksa melompat untuk mencari lubuk duit bagi memudahkan mereka membantu rakyat.

Kata mereka, rakyat menganggap mereka ini penyelesai masalah, jika rumah terbakar, mereka mengharapkan YB akan membinakan mereka sebuah rumah untuk didiami.

Tiap kali turun padang, mereka harapkan YB 'tabur' wang berkepuk-kepuk kepada pengundi kawasan.

Itu belum lagi menagih projek itu dan projek ini.

Mungkin inilah puncanya aktiviti melompat parti yang semakin ketara.

Bukan lagi umpama katak tetapi ibarat tupai yang tengah 'galak' melekat dari dahan ke dahan.

Senario ini dilihat berlaku sejak tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya memerintah selama 22 bulan.

Terguris hati rakyat yang mengundi melihat sikap pemimpin politik dengan mudahnya membuat keputusan lompat parti sedangkan rakyat telah meletakkan harapan yang tinggi kepada calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut.

Apabila berlaku isu lompat parti, sistem pemerintahan negara pastinya tidak stabil selagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak dilaksanakan.

Mengambil pendekatan berbeza mengenai lompat parti ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan wakil rakyat yang bertindak melompat atau keluar parti akan berdepan dengan tindakan saman sebanyak RM10 juta, setiap seorang.

Turut diakui Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung menyatakan parti menuntut sebanyak RM10 juta (RM10,000,000) daripada 19 Ahli Parlimen dan ADUN yang berpaling tadah.

Katanya, pampasan itu adalah jumlah yang telah dipersetujui mereka kerana berpaling daripada parti termasuk menyalahgunakan kerusi (DUN/Parlimen) dimiliki untuk kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, salah seorang daripada Ahli Parlimen itu, Datuk Zuraida Kamaruddin telah menfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu dengan alasan bahawa tuntutan tersebut bertentangan dengan undang-undang.

Chean Chung berkata, permohonan itu difailkan Zuraida yang merupakan Ahli Parlimen Ampang pada 29 Januari lalu dan pihak PKR membantah bahawa permohonan ini (batalkan saman) adalah tidak berasas dan tanpa merit.

Senario lompat parti oleh ahli PKR tidak terhenti begitu sahaja apabila Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong membuat keputusan keluar daripada PKR dengan memberi sokongan penuh kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, sehingga kini, kedua bekas PKR itu menjadi ahli bebas dan belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti.

Begitu juga dengan ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dipecat daripada DAP setelah memberi sokongan kepada gabungan politik baharu di Melaka.

Norhizam yang popular dikenal sebagai 'YB Gengster' pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DAP Melaka.

Beliau juga mendedahkan telah dilamar oleh Pas, malah parti lain termasuk UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun memberi jangkaan akan menghentikan teka-teki mengenai parti yang akan dipilih menjelang Julai depan.

EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu juga tidak menolak sekiranya beliau terus kekal sebagai wakil rakyat bebas pada PRU akan datang dan berkemungkinan bertanding secara solo dengan menggunakan logo sendiri.

Berbeza pula dengan pendirian ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kasim apabila kembali kepada UMNO selepas keluar daripada parti itu pada 2018.

Beliau mengambil keputusan menyokong PN dan menjadi ahli Bersatu pada 2019 bagaimanapun, adik kepada bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, kembali menyertai UMNO pada 15 Mei 2020 dan kini dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Bahagian Arau.

Lain pula kisahnya dengan bekas ahli Pas, Datuk Ir Amiruddin Hamzah merupakan penyandang Ahli Parlimen Kubang Pasu merangkap ADUN Anak Bukit.

Amiruddin, menyertai Pas pada 1999 dan menjadi ADUN Anak Bukit sejak 2002 melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) dan mengekalkannya selama empat penggal.

Namun bekas Timbalan Menteri Kewangan ini bagaimanapun telah digugurkan keahlian Bersatu pada 28 Mei 2020, kerana berada di bangku pembangkang ketika persidangan Dewan Rakyat lalu.

Tidak endah dengan tindakan Bersatu, beliau kini meneruskan perjuangan dengan mengikut jejak bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan dilantik sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja (JKP) Pejuang.

Setelah melihat tindakan ahli politik ini dengan mudahnya lompat parti, pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk menghalang mereka.

Ini diperakui Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataannya di Facebook terdahulu apabila kecewa melihat trend wakil rakyat lompat parti keluar sebelum DUN dibubarkan pada tahun lalu.

Kesan daripada lompat parti itu, Warisan juga tumbang semasa Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan pada 26 September 2020.

Dalam masa sama, Mohd Shafie berharap akan ada penggubalan satu Rang Undang-undang yang boleh menyekat aktiviti 'melompat' parti pada masa depan agar mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dapat dilaksanakan.

Perkara itu juga diperakui oleh Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar dalam satu program wawancara di saluran berita Astro Awani pada Disember tahun lalu.

Beliau mengatakan kes-kes lompat parti yang kerap berlaku dalam kalangan wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak boleh lagi dibiarkan berterusan kerana ia menggugat kestabilan kerajaan.

Sudah tiba masanya, Malaysia perlu menggubal satu undang-undang berkaitan anti lompat parti bagi mengatasi 'pandemik politik' dalam negara kerana perbuatan lompat parti itu juga akan membawa kepada amalan rasuah.

Justeru, pesanan kepada wakil rakyat yang sudah lompat parti mahupun sedang berfikir untuk menyertai rakan politik yang lain, fikir sejenak perjuangan anda dan di manakah letakknya intergriti.

Adakah lompat parti ini wajar andai kata ia sebahagian daripada medan perjuangan untuk membela rakyat atau adakah sekadar mahu meraih kuasa dengan menyokong pimpinan kerajaan kini hingga mengabaikan nasib rakyat yang hingga kini merana gara-gara wabak Covid-19.

Jika hari ini mahu mengawal penularan Covid-19, orang ramai mendapat vaksinasi, tetapi apa 'ubatnya' kepada orang politik yang gemar lompat parti, atau mungkin tiada vaskin yang sesuai untuk mereka selagi mereka bergelar ahli politik.

Atau jika ada suntikan yang boleh mengubah DNA sesuatu makhluk, tukarkan sahaja mereka kepada tupai kerana kata peribahasa Melayu, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.