[ANALISIS] Bertindaklah demi rakyat, bukan untuk kumpul sokongan semata-mata - Penganalisis

SHAH ALAM - Keterbukaan parti menerima parti lain bagi membentuk blok gabungan kerjasama politik kini dilihat semakin positif menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Bagaimanapun penganalisis politik Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM), beranggapan tindakan ahli politik yang gemar membuat 'grand coalition' atau gabungan besar parti demi kepentingan mereka sendiri dan bukannya demi rakyat. 

Kata beliau, sepatutnya rakyat diberi hak memilih parti mana yang dirasakan layak pada setiap kerusi yang bertanding untuk diberi mandat pada PRU15 dan ini lebih menguntungkan rakyat berbanding ditentukan oleh parti itu sendiri.

"Apabila parti membuat 'grand coalition' rakyat terpaksa memilih parti gabungan sedangkan antara parti komponen itu ada yang parti yang tidak disukai rakyat.

"Situasi ini dilihat gabungan yang dibentuk demi kepentingan mereka sendiri dan bukannya demi rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi memberi keadilan dan hak kepada rakyat kerjasama politik akan lebih baik sekiranya dibuat selepas mana-mana parti menang pada pilihan raya. 

Mengulas lanjut berdasarkan 'trend' keterbukaan blok kerajaan mahupun pembangkang menerima kemasukan parti lain dalam gabungan mereka, Dr Awang berkata, ia wajar bersifat menang-menang.

"Baik kerajaan ataupun pembangkang, mereka dilihat sedang mengumpul sokongan daripada pelbagai parti untuk membentuk 'grand coalition' sebagai persediaan menghadapi PRU.

"Ada perkara yang perlu dilihat untuk memastikan kekuatan dalam konteks pembangkang dan kerajaan ini. 

"Mereka perlu pastikan kekuatan dan prestasi terbaik untuk membentuk gabungan dan tidak menjejaskan kepentingan parti dominan malah disifatkan 'win-win situation'," jelasnya.

Bagaimanapun, gabungan dan kemasukan parti lain perlu diperhalusi agar parti sedia ada tidak merasai kekurangan dalam kedudukan sebenar.

"Jadi, naratif kerjasama politik itu harus terbaik yang diterima bukan sahaja parti mereka sendiri tetapi komponen parti.

"Selain daripada naratif itu, gabungan mereka juga perlu diterima oleh akar umbi termasuk lapisan masyarakat," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan akan berlaku perubahan dalam gabungan parti dalam PRU15 nanti, seperti, Barisan Nasional (BN) bergabung dengan PKR, DAP dan Warisan.

Malah akan berlaku juga blok gabungan  parti seperti Amanah, Pejuang, DAP, Warisan dan Muda.

"Blok daripada parti seperti Pas, Bersatu, BN, dan Gabungan Parti Rakyat Sarawak (GPS) juga kemungkinan akan berlaku. 

"Pada PRU15, kebarangkalian untuk PH kembali dengan gabungan asal tidak mustahil, iaitu Bersatu, PKR, DAP dan Amanah," katanya.

Mengulas mengenai perkara sama, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Mohd Azri Ibrahim bagaimanapun berbeza pendapat.

"Dalam konteks kerajaan ketika ini, saya melihat ada momentum ke arah PRU15, gabungan kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN), BN dan Muafakat Nasional akan lebih kuat dan meyakinkan.

"Jika ini disepadukan, digemblengkan dalam kerjasama politik antara tiga parti itu, saya rasa banyak kelebihan pada blok mereka.

"Bagi blok pembangkang pula, sudah pasti kita lihat keperluan mewujudkan kerjasama politik antara parti pembangkang bagi memberi saingan kepada PN itu sendiri.

"Maksudnya, Pakatan Harapan (PH) bersama Pejuang dan Warisan perlu wujud kerjasama sebelum menghadapi pilihan raya dan kelebihan juga memihak kepada mereka," katanya.

Bagaimanapun, sekiranya blok kerajaan gagal memberi kerjasama antara parti gabungan ia pastinya memberi 'laluan' kepada blok pembangkang.

"Rakyat pastinya mahukan kestabilan gabungan kerjasama politik, maka kerjasama ini perlu dilakukan sebelum PRU agar memberi satu manifestasi kepada masyarakat, pengundi untuk memilih parti hebat dan kuat.

"Seperti mana berlaku ketika PRU14, gabungan PH memberi impak dan membawa kemenangan besar. Jika betul blok pembangkang iaitu PH, Pejuang, Warisan, bergabung, ia memberi saingan yang sengit dan menarik untuk diperhatikan," katanya.
 

PRU

Berita Popular

Video Popular