Bersatu guna logo PN pada PRU15: Muhyiddin

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu diyakini berdasarkan hasil keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

Menurutnya, ia jelas menunjukkan penerimaan rakyat disebabkan imej PN sebagai sebuah kerajaan yang berfungsi dengan kepimpinan yang prihatin, amanah dan mengutamakan kebajikan rakyat.

"Ramai meragui keputusan saya untuk menggunakan lambang PN buat pertama kalinya dalam PRN Sabah. Tetapi saya mengambil risiko. Saya bertawakkal kepada ALLAH SWT. Jika PN dapat diterima di Sabah, saya yakin PN dapat diterima oleh rakyat di seluruh negara.

"Kita cetak bendera, baju, topi dan lain-lain dengan logo PN. Agak mengujakan, PN walaupun sebuah parti yang baharu telah diterima dengan baik oleh rakyat di negeri Sabah. Ke mana-mana saya pergi ketika berkempen, bendera PN berkibar megah di seluruh pelosok negeri Sabah di mana calon kita bertanding.

"Hasilnya, PN menang 17 daripada 29 kerusi yang ditandingi dan bersama-sama dengan parti-parti rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah yang dianggotai oleh PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS), kita telah berjaya membentuk kerajaan negeri Sabah yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2020, yang dibuat secara maya dan dipancarkan secara langsung melalui Facebook parti itu hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau percaya, dalam pilihan raya umum yang akan datang, PN akan diterima baik oleh rakyat Malaysia.

"Kajian yang dijalankan menunjukkan penerimaan rakyat Malaysia terhadap PN adalah tinggi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Perhimpunan Agung Bersatu bincang mansuh jawatan pengerusi

Armada kemuka lima teras usul

'Bukan masa untuk rebut kuasa'

Perhimpunan Agung Bersatu secara maya 28 November ini

Muhyiddin YassinBersatu PRU15
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :