SHAH ALAM - Semua ahli politik sama ada pembangkang mahupun penyokong Kerajaan Madani digesa 'mengunci mulut' dan berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tindakan itu perlu kerana perbuatan ahli politik yang terus berpolemik dan mengeluarkan kenyataan berdasarkan tafsiran sendiri tanpa pengetahuan peruntukan perlembagaan dan perundangan akan menyebabkan rakyat semakin keliru.
Menurutnya, semua pihak perlu berhenti berbalah dan diminta bersabar menunggu keputusan mahkamah sama ada Titah Adendum berkenaan sahih atau tidak dari sudut perlembagaan dan perundangan.
"Saya mahu menasihatkan semua pemimpin politik dan ahli Parlimen jangan membuka mulut berhubung kes Titah Adendum jika tidak mempunyai pengetahuan khusus mengenai kuasa mutlak Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.
"Ini kerana tidak semua rakyat terutama orang kampung mempunyai pengetahuan mengenai bidang perundangan.
"Jika anda bukan berkelulusan daripada bidang undang-undang bercakap soal Titah Adendum, ia dibimbangi akan mengelirukan rakyat apabila keputusan Mahkamah diputuskan nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, Haniff Khatri menjelaskan, kuasa pengampunan Agong juga tiada kaitan dengan kaedah pengurangan hukuman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 43, 44 dan 46 Akta Penjara 1995 kepada Jabatan Penjara, Lembaga Parol mahu pun Menteri Dalam Negeri.
Ini kerana tegas beliau, kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong melangkaui undang-undang sedia ada mahupun yang belum digubal termasuklah Rang Undang-undang Akta Tahanan Kediaman yang bakal dibentangkan Parlimen oleh Kerajaan Madani pada tahun ini.
Tambah beliau, Agong juga mempunyai kuasa mutlak untuk memberikan pengampunan penuh, mengurangkan, menggantung atau melegakan hukuman termasuk denda ataupun tempoh pemenjaraan seseorang banduan tanpa perlu merujuk atau mendapat nasihat daripada Lembaga Pengampunan mahu pun Peguam Negara.
"Baginda mempunyai kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan pengampunan kepada mana-mana banduan yang disabitkan kesalahan bagi kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
"Kalau ada ahli politik atau anda di luar sana boleh menunjukkan kepada saya bahawa ada peruntukan di bawah Perkara 42 atau mana-mana frasa atau ayat dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan Agong wajib mengikut nasihat atau merujuk Lembaga Pengampunan atau Peguam Negara terlebih dahulu, sila tunjukkan kepada saya," katanya.
Sehubungan itu, Haniff Khatri berkata, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan kuasa mutlak Agong untuk memberikan pengampunan, perlu mendesak kerajaan supaya membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 42.