MKT UMNO mungkin bincang surat Istana Pahang

SHAH ALAM - Surat daripada Istana Pahang yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum seperti yang didedahkan oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Rayuan mungkin dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat ini.

Ahli MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bagaimanapun berpendapat tiada keperluan UMNO mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan kedudukan parti berkenaan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tidak perlu mesyuarat khas. Kebetulan mesyuarat bulanan MKT UMNO pada hari Jumaat ini. UMNO sudah buat keputusan untuk kekal bersama dalam Kerajaan Madani hingga PRU16. Jadi, tidak ada keperluan untuk bincang isu tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau diminta mengulas persoalan dibangkitkan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mengenai kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan susulan pengesahan Sultan Pahang mengenai kewujudan Titah Adendum membabitkan Najib.

Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa turut menyatakan perkara sama kerana mesyuarat MKT yang diadakan sebulan sekali biasanya akan menyentuh pelbagai isu dan perkembangan politik semasa.

Othman turut melahirkan rasa terkejut dengan kehadiran ramai pemimpin pembangkang dalam Himpunan Solidariti Najib di Putrajaya pada Isnin lalu.

“Apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang tidak dijangka, di mana ramai pemimpin Pas dan Bersatu hadir memberikan sokongan kepada Najib.

“Dulu, kita tahu Pas dan Bersatu bukan sahaja tidak menyokong Najib, malah mereka pernah mengkritik beliau dengan pelbagai tuduhan. Jadi, saya melihat sokongan mereka sekarang lebih bersifat kepura-puraan, kerana masing-masing mahu meraih keuntungan politik,” ujarnya.