Lima faktor PRK Batu Sapi wajar ditangguhkan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember depan wajar ditangguhkan ke tarikh baharu selepas pandemik koronavirus (Covid-19) berakhir berdasarkan beberapa faktor.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, faktor pertama ialah ancaman terhadap kesihatan awam berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lepas telah menjadi punca penularan gelombang ketiga Covid-19 dalam komuniti.

Menurutnya, meskipun prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun pematuhan SOP itu didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak itu sukar dibendung.

“Faktor kedua, pihak SPR menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan Covid-19 ketika bertugas.

“Disebabkan kebimbangan ini, setakat 6 November 2020, SPR hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya iaitu 17.1 peratus sahaja berbanding 837 orang yang diperlukan untuk PRK Batu Sapi.

“Faktor ketiga ialah pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan ke daerah-daerah lain di negeri Sabah,” katanya pada perutusan khas mengenai PRK Batu Sapi petang tadi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan, namun ia tidak boleh menghalang pengundi merentas daerah untuk menunaikan hak mengundi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi

Selain itu, katanya, faktor keempat adalah kebimbangan mengenai risiko jangkitan dalam kalangan pengundi di Batu Sapi terutama warga emas.

“Daripada 32,962 pengundi berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P185 Batu Sapi, seramai 7,377 orang atau 22.3 peratus adalah pengundi berumur 60 tahun ke atas.

“Faktor kelima ialah kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi dan daerah Sandakan sekiranya penularan berlaku secara mendadak selepas pilihan raya kecil diadakan.

“Berdasarkan faktor-faktor ini, Jemaah Menteri berpandangan PRK Batu Sapi wajar dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang lebih sesuai iaitu apabila pandemik Covid-19 berakhir,” ujarnya.

Jelas Muhyiddin lagi, Peguam Negara telah memberikan pandangan bahawa tidak ada cara lain untuk membatalkan PRK Batu Sapi melainkan dengan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin YassinPRK Batu Sapi

Berita Popular

Video Popular