KUALA LUMPUR - Persoalan sama ada kerajaan bercadang menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat di Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya seperti yang dilakukan di Parlimen Batu Sapi adalah antara isu akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang akan diajukan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) kepada Perdana Menteri dan rasional sekiranya dilaksanakan serta kekangan hak demokrasi pengundi untuk kawasan terlibat.
Pada sesi sama juga, Teo Nie Ching (PH-Kulai) meminta Menteri Pendidikan menyatakan keberkesanan TV Pendidikan, jumlah murid dan pelajar yang mengikuti program itu, serta sama ada kementerian mempunyai perancangan menambah masa siaran TV Pendidikan.
Selain itu, pada sesi soal jawab lisan, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini pembinaan tiga kapal induk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang akan digunakan bagi meningkatkan pengoperasian di perairan negara dalam usaha mencegah aktiviti pencerobohan bot nelayan asing.
Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) pula meminta penjelasan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai strategi dan hala tuju kementerian berkaitan import dan eksport negara bagi terus meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur dalam negara khususnya di Sabah.
Persidangan dewan kemudian diteruskan dengan penggulungan perbahasan peringkat dasar bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 oleh kementerian-kementerian terlibat.
Setakat semalam, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan.
Antara kementerian yang dijadual menggulung perbahasan hari ini ialah Kementerian Pertahanan; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Alam Sekitar dan Air; Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember dengan sesi penggulungan Belanjawan 2021 peringkat dasar oleh menteri-menteri berkenaan bermula 9 November hingga 26 November. - Bernama