'Seperti yang dijangka' - Dr Akmal

SHAH ALAM - "Seperti yang dijangkakan", kata Ketua Pemuda, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh.

Beliau mengulas berkenaan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang perlu kemuka permohonan baharu sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

"ALLAH SWT maha berkuasa, kepada ALLAH kita berdoa agar keadilan untuk Najib.

"Sekadar pertanyaan kepada Peguam Negara, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong ketika itu, ada ke dibawa ke Lembaga Pengampunan?" katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Menurut kenyataan tersebut, Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan pula antara lain memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

Tambah Dr Akmal, rakyat mampu menilai kerana ketika itu Kabinet belum dibentuk lagi.