KOTA BHARU - Peletakan jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) oleh Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak menjejaskan hubungan Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kelantan.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berpendapat peletakan jawatan berkenaan tidak membabitkan masalah parti.
"Mungkin tugas yang terlalu banyak menyebabkan beliau (Ahmad Samsuri) terbeban dan terpaksa meletak jawatan. Selain Menteri Besar, beliau juga merupakan Ahli Parlimen (Kemaman)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia Year End Sale (MYES)-Midnight Sale AEON Mall Kota Bharu pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Tourism Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif Yahya.
Kamaruddin memberitahu, keputusan Ahmad Samsuri meletak jawatan merupakan tindakan bertanggungjawab.
"Jika tuan punya badan tidak mempunyai masa dan ruang, baguslah dia letak jawatan dan parti boleh mendapatkan pengganti," katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, layanan Pas Kelantan terhadap Bersatu di negeri ini sangat baik dan hubungan juga erat.
"Setakat ini tiada sebarang petanda hubungan kita mengalami sebarang masalah," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ahmad Samsuri menerusi kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan Pas Pusat mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung PN.
Bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu itu menafikan bahawa peletakan jawatannya berpunca daripada keretakan dalam gabungan berkenaan.
Sebaliknya, Ahmad Samsuri berkata, tindakan itu bertujuan memperkukuh PN supaya menjadi pakatan politik yang lebih kuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).