Tuduhan berat kaitkan pelantikan Tun Musa Aman dengan rasuah

SHAH ALAM - Tindakan mempertikaikan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah kerana kononnya beliau terlibat dengan rasuah adalah tuduhan yang berat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, ini kerana tuduhan itu secara tidak langsung mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong yang telah melantik beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.

“Kita mengalu-alukan apa jua usaha untuk membanteras kegiatan rasuah dan salah guna kuasa demi masa depan negara kita.

“Idealisme untuk menjuarai isu-isu yang melibatkan kepentingan awam perlu diberi dukungan agar ia boleh menjadi pemangkin kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Persoalan yang timbul sekarang ialah kepada siapa kita perlu rujuk untuk menilai sama ada tuduhan yang berat ini betul atau tidak? Sudah tentu rujukan utama kita ialah kepada keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, ketiga-tiga entiti itu telah melepaskan Tun Musa daripada tuduhan rasuah tersebut.

"Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah sekarang ini langsung tidak terlibat dalam keputusan pembebasan Tun Musa pada Jun 2020, malah ketiga-tiga mereka belum pun memegang jawatan mereka pada waktu itu,” katanya.

Tambahnya, pembebasan Tun Musa telah menjadi asas utama kepada proses 'vetting' atau tapisan ketat yang telah dilakukan oleh pihak Istana Negara sebelum mengumumkan pelantikan Tun Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.

“Asas lain yang diambil kira sudah tentu khidmat Tun Musa sebagai Ketua Menteri Sabah dan pencapaian pembangunan negeri Sabah yang memberangsangkan semasa pentadbiran beliau.

“Jika ada pihak mempertikai pelantikan Tun Musa kerana kononnya ada tangan-tangan ghaib yang mempengaruhi keputusan mahkamah, SPRM dan Peguam Negara, saya ingin cadangkan mereka merujuk kepada keputusan yang telah dibuat oleh Independent Commission Against Corruption (ICAC), Hong Kong kerana sebelum ini, ada seorang ahli Parlimen pembangkang (pada waktu itu) telah membuat aduan rasuah yang sama terhadap Tun Musa kepada ICAC," katanya.

Ujar beliau, ICAC adalah antara agensi anti rasuah yang paling dihormati dan disegani di persada antarabangsa.

Tambahnya, reputasi dan profesionalisme kerja ICAC telah menjadi piawaian emas atau ‘old standard’ kepada agensi pembanteras rasuah di seluruh dunia.

“Tiada siapa yang berani menuduh ICAC dipengaruhi oleh tangan-tangan ghaib kerana ICAC mempunyai kredibiliti yang sukar untuk dipertikai.

"Untuk makluman, ICAC telah membuat siasatan yang terperinci (termasuk kerja-kerja siasatan dalam Malaysia) terhadap tuduhan ahli pembangkang itu dan akhirnya ICAC mendapati tidak ada kes yang boleh dituduh terhadap Tun Musa,” katanya.