PKPIM cadang PRU15 selepas Julai 2021

SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengesyorkan tarikh paling sesuai bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan ialah selepas Julai 2021.

Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata, ia seiring dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pemilih secara automatik dan penguatkuasaan umur mengundi 18 tahun yang dijangka dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada Julai tahun depan.

"Ini bagi memberi peluang kepada hampir tujuh juta anak muda, terutama pengundi baharu (18 hingga 21 tahun) terbabit secara langsung dalam proses memilih kerajaan.

"PKPIM menasihati semua parti politik mengambil iktibar trend peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) selepas PRN Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemimpin politik terutama pemerintah wajar bersikap rasional dan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

"Oleh itu, sebarang usaha atau desakan orang politik untuk mengadakan PRU secara mengejut wajar ditolak.

"Dalam keadaan kekangan ekonomi, PKPIM juga menggesa perbelanjaan pada waktu krisis wajar difokuskan untuk membangun sektor ekonomi dan kebajikan rakyat bukannya dibelanjakan untuk PRU yang pasti akan memerlukan suatu belanja yang besar," katanya.

Katanya, kepentingan negara dan rakyat lebih besar dan utama melebihi kepentingan parti politik serta orang politik.