SHAH ALAM - Kepulangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia tidak bermaksud bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibebaskan, sebaliknya beliau diberi peluang seadilnya untuk membela diri.
Peguam, Mohd Ridwan Talib berkata, dengan penangkapan bekas peguam korporat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan pada tahun 2023, Jho Low juga dijangka menerima layanan yang sama dan kebenaran akan terungkai di mahkamah sekiranya ahli perniagaan itu pulang untuk dibicarakan di Malaysia.
**media[2918784]**
“Sekiranya Jho Low diberkas, beliau akan segera dituduh di mahkamah untuk dibicarakan kerana ia merupakan kes berprofil tinggi. Apa yang pasti, kebenaran akan dibuktikan di mahkamah tetapi ini tidak bermaksud Najib dibebaskan jika Jho Low pulang ke Malaysia.
“Baru-baru ini, Najib hanya dilepaskan bersyarat dan tidak pernah dibebaskan dalam enam pertuduhan pecah amanah.
"Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Najib bermakna beliau akan dituduh semula apabila pihak pendakwa raya bersedia sepenuhnya untuk menyambung proses pendakwaan,” katanya kepada Sinar Premium.
Mohd Ridwan turut menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menunjukkan iltizam tinggi untuk menangkap Jho Low dan mengheretnya ke mahkamah memandangkan Notis Merah yang dikeluarkan oleh polis antarabangsa (Interpol) terhadap Jho Low pada tahun 2016 masih aktif.
“Setakat ini, 195 negara anggota Interpol yang mempunyai maklumat mengenai Jho Low harus menyalurkannya kepada Interpol dan Malaysia.
"Berdasarkan aspek undang-undang hubungan diplomatik, kaedah ini lebih sesuai kerana maklumat yang diperoleh adalah hasil daripada risikan negara-negara anggota sekali gus dapat mengukuhkan kerjasama Malaysia di peringkat global.
“Kerajaan Malaysia juga mendapat bantuan daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam usaha mencarinya.
"Kerajaan Madani pastinya tidak rela ‘pisang berbuah dua kali’, khususnya selepas berlakunya skandal kewangan Bank Bumiputera dan Carrian Group pada tahun 1983 yang melibatkan hutang tidak berbayar (bad debts) berjumlah AS$1 bilion,” jelasnya.
Selain itu, tambahnya, Malaysia sedang berganding bahu dengan Singapura dalam misi memburu Jho Low.
“Hal ini kerana terdapat aset berkait 1MDB bernilai RM540 juta yang dibekukan di Singapura. Ini satu jumlah yang sangat besar yang mana setakat ini, sejumlah RM340 juta telah dipulangkan semula kepada Malaysia atas perintah mahkamah Singapura.
“Kerajaan Singapura berkongsi pendirian tegas dengan Malaysia, menyatakan bahawa penyelesaian yang dicapai antara Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) dan Jho Low serta keluarganya pada 26 Jun 2024 tidak akan menjejaskan proses siasatan dan pendakwaan terhadap Jho Low dan rakan-rakannya,” ujarnya.
TERUS BURU
Pada Ahad, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa kerajaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berminat untuk menangkap dan membawa pulang Jho Low yang dikatakan ketika ini sedang bersembunyi di Myanmar.
Ini berikutan ‘janji lama’ yang pernah dibuat oleh pemimpin sebelum ini, termasuk Tan Sri Abdul Hamid Bador sewaktu memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara untuk membawa pulang Jho Low ke Malaysia dalam tempoh dua minggu namun gagal sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah berputus asa memburu Jho Low.
Malah, kerjasama PDRM dengan Interpol masih berjalan sehingga kini demi mengesan individu tersebut.
**media[2918785]**
Pakar perlembagaan, Profesor Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain pula menegaskan bahawa dakwaan negatif terhadap PDRM dan SPRM merupakan satu andaian yang tidak wajar.
“Dakwaan bahawa PDRM dan SPRM tidak berminat untuk membawa balik Jho Low kerana ia akan menjurus kepada pembebasan Najib merupakan kenyataan yang mendahului pemeriksaan dan keputusan mahkamah.
“Berdasarkan maklumat, PDRM dan SPRM setakat ini telah melakukan satu tahap siasatan sehingga keterangan mencukupi untuk Najib didakwa. Sekiranya pejabat Peguam Negara (AGC) berpuas hati untuk mendakwa Najib, ini bermakna elemen jenayah mengikut pertuduhan sudah tersedia,” katanya.
Tambahnya, sabitan terhadap pertuduhan tidak bergantung semata-mata pada kehadiran Jho Low kerana mahkamah akan memeriksa dan memutuskan kesalahan berdasarkan penglibatan Orang Kena Tuduh (OKT).
“Dalam prinsip undang-undang jenayah, pelaku utama mesti dikenal pasti dan tidak semestinya hanya seorang sebelum pendakwaan boleh dimulakan.
"Najib akan diadili berdasarkan pertuduhan dan keterangan yang diperiksa di mahkamah, yang mana pihak pembela mempunyai ruang untuk membuktikan ketidakbersalahan beliau.
“Sudah tentu, AGC tidak akan memutuskan untuk mendakwa seseorang tanpa asas yang kukuh kerana ini boleh mengakibatkan isu pendakwaan berniat jahat (malicious prosecution).
“Oleh kerana kes ini sedang dibicarakan, adalah lebih baik proses pengadilan diserahkan sepenuhnya kepada mahkamah,” katanya.