‘Hati saya masih ada UMNO’ - KJ

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui tidak menyertai mana-mana parti sehingga kini meskipun mendapat pelbagai tawaran kerana masih sayangkan parti lamanya.

Menurut Khairy Jamaluddin, beliau masih menganggap dirinya sebagai ahli UMNO walaupun dipecat daripada parti itu pada Januari 2023.

“Sejak saya dipecat, saya tak sertai mana-mana parti walaupun ada tawaran. Hampir semua parti membuat tawaran secara rasmi atau tidak langsung kepada saya dan saya tak terima.

“Malah saya diberikan peluang untuk menjadi calon sewaktu pilihan raya negeri (PRN) pun saya tak nak, sebab dalam hati saya sebenarnya masih lagi ahli UMNO.

“Saya tak keluar daripada UMNO, saya kena pecat dan sampai hari ini saya tak berapa tahu kenapa saya dipecat,” katanya menerusi siaran podcast Keluar Sekejap pada Jumaat.

Pada 25 November lalu, dilaporkan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara untuk melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu bersedia membuka kembali ruang terhadap bekas pimpinan UMNO yang sebelum ini berdepan dengan pemecatan.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak melihat peluang itu sebagai salah satu jalan untuknya kembali ke politik supaya dapat memegang sebarang jawatan.

“Sebaliknya, kembali saya ke UMNO ini mesti datang dengan satu iltizam daripada semua pihak yang terlibat...pemimpin sedia ada dan saya sendiri akan patuh sekiranya kembali kepada disiplin parti.

“Tetapi idealisme saya untuk melihat UMNO yang berubah, lebih baik, relevan, segar dan berintegriti. Kalau saya kembali untuk jadi pak turut sahaja, saya tak mahu.

“Kalau boleh terima saya seseorang yang masih lagi setia kepada parti tetapi ada idealisme sendiri...bukan kata saya nak pergi lawan siapa-siapa tetapi saya ada impian untuk UMNO menjadi lebih baik,” ujarnya.