BN Kedah adakan konvensyen 14 November ini - Mahdzir

ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) Kedah akan mengadakan konvensyen pada 14 November ini dalam usaha memperkukuhkan kerjasama antara parti komponen di Kedah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, konvensyen itu akan disertai kira-kira 800 pemimpin BN dari pelbagai peringkat dan dijangka dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Dalam konvensyen itu, kami akan membincangkan pelbagai perkara termasuk hal-hal yang mungkin terlepas pandang sebelum ini. Kami akan mencari jalan untuk memperkukuhkan BN,” katanya pada sidang media di sini hari.

Sementara itu Mahdzir berkata, pihaknya yakin kerajaan Persekutuan akan terus membantu Kedah khususnya dalam berdepan kesan bencana banjir yang melanda negeri itu.

Beliau berkata, ini di sebalik sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sering mengkritik kerajaan Persekutuan.

Semalam, Muhammad Sanusi berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan bantuan kepada kerajaan negeri selepas Kedah sekali lagi dilanda banjir yang menyebabkan pelbagai infrastruktur rosak. - Bernama