Akaun parti disita, Bersatu perlu kutip sumbangan - Abdul Khalib

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu membuat pembaharuan dengan mengutip sumbangan susulan penyitaan wang parti oleh pihak berkuasa.

Ketua Bersatu Bahagian Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, ketua bahagian diminta mengadakan perbincangan bersama ahli jawatankuasa agar perkara tersebut dapat dilakukan.

Menurutnya, ini kerana duit parti bukan sahaja dibekukan tetapi telah disita.

"Saya nak beritahu, belum ada dalam sejarah parti kita kutip sumbangan. Hari ini mula tapi parti lain sudah mula.

"Saya mahu nyatakan bahawa ini salah satu langkah pembaharuan yang boleh dibuat dalam keadaan tiada duit," katanya dalam perbahasan sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali ketujuh di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, dua akaun Bersatu yang dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023 telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 April tahun sama untuk tindakan lanjut.

SPRM memaklumkan, sitaan dibuat setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.

Sementara itu, Abdul Khalib berkata, pemilihan peringkat bahagian perlu mengikut perlembagaan parti bukannya dibuat secara sesuka hati.

"Ia bagi memastikan parti sentiasa berjalan dengan betul. Pemilihan peringkat bahagian tidak langsung tengok perlembagaan parti, ikut main suka sahaja. Itu yang buat pening," jelasnya.