SHAH ALAM - Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangka dasar baharu bagi menampilkan pergerakan lebih terbuka dengan menubuhkan Skuad Srimuda.
Ketuanya, Nurul Ezzati Azmi berkata, skuad tersebut akan berperanan mengetengahkan khidmat bakti dalam bidang politik, pendidikan, sara hidup, sosial kebajikan, kesihatan keselamatan dan usahawan.
“Srimuda Politik akan membawa pendidikan asas kepada bidang ini yang lebih memberi kesedaran. Kami juga memandang isu ini secara serius.
“Ini kerana generasi muda masih perlu ditegur kerana tiada pencerahan untuk ‘menjiwakan’ peranan mereka.
”Zaman kini, kita ketandusan pengetahuan, kepercayaan dan keyakinan,” katanya dalam persidangan pertama Srikandi Muda di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mengulas lanjut, Nurul Ezzati berkata, mengambil kira dasar pendidikan yang terus berdepan dengan pelbagai masalah, sayap yang diterajuinya memperkenalkan dasar Srimuda Edu bagi melahirkan pemimpin generasi baharu berwibawa.
“Idea-idea daripada mahasiswa dapat disegarkan lagi. Jadi, peranan Skuad Srimuda adalah untuk melontarkan pandangan dengan lebih jelas,” katanya.
Sementara itu, bagi dasar aspek keselamatan, pihaknya turut memperkenalkan Srimuda Selamat yang akan membawa asas menjamin kesejahteraan melibatkan golongan wanita.
Menurutnya, ia berikutan kumpulan berkenaan merupakan permata yang perlu dijaga dengan baik, namun berada dalam ancaman semakin mencabar sejak kebelakangan ini.
“Seringkali ia memandang isu keselamatan ini bukanlah perkara kecil tetapi perlu diberikan perhatian yang sewajarnya, jika tidak golongan wanita akan terus dieksploitasi dengan sewenang-wenangnya.
“Keselamatan merupakan tanggungjawab utama terutamanya ketika berkenaan dengan situasi yang boleh mengancam nyawa dan risiko,” katanya.