Srikandi Bersatu cadang Muhyiddin ketuai Agenda Penyatuan Kebangsaan

SHAH ALAM - Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai Agenda Penyatuan Kebangsaan bagi mencipta badai perjuangan Melayu yang jitu di kalangan rakyat.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia turut melibatkan agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin utama Melayu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menumpukan segala kudrat, kecerdasan fikiran serta sumber daya yang ada ke arah satu formula penyatuan Melayu secara menyeluruh.

Menurutnya, dua tahun lalu disebabkan perpaduan kalangan orang Melayu dilihat semakin longgar, maka kita dapat saksikan kaum lain semakin berani mengusik keistimewaan dan secara tidak langsung mengganggu gugat survival umat Islam di negara ini.

**media[2908499]**

"Antaranya isu Bak Ku Teh sebagai makanan warisan, isu mencalonkan Kg Baru Cina sebagai Warisan UNESCO dan banyak lagi yang telah berlaku.

"Tambahan pula, sekiranya kita cuba pertikai atau memperjuangkan isu yang menggugat bangsa Melayu, kita pula dituduh bermain isu 3R dengan menguatkuasakan Akta Hasutan yang dahulunya mereka tentang habis-habisan kononnya itu adalah undang-undang lapuk yang perlu dimansuhkan," katanya pada Perhimpunan Agung Srikandi Bersatu kali keenam di IDCC, di sini pada Jumaat.

Hadir sama dalam sesi berkenaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tambah beliau, penyatuan kebangsaan tersebut bukan sekadar retorik tetapi satu tanggungjawab besar yang menuntut keikhlasan, komitmen, dan kebijaksanaan.

Ujarnya, hanya dengan bersatu mampu mengatasi cabaran dan membina Malaysia lebih cemerlang.