Kekalkan Muhyiddin sebagai 'supreme commander' PN - Armada

SHAH ALAM - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menjadi komander Perikatan Nasional (PN) dalam usaha gabungan itu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Ketuanya, Muhammad Hilman Idham menegaskan, kemampuan Presiden Bersatu itu mentadbir Malaysia mengharungi krisis global ketika pandemik Covid-19 terbukti berjaya menyelamatkan rakyat dan negara.

"Saya ingin menegaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin adalah pemimpin nombor satu dalam PN dan akan kekal menerajui gabungan ini ke Putrajaya.

**media[2908524]**

"Tan Sri adalah supreme commander (komander tertinggi) Bersatu dan PN. Maksudnya kalau semua sudah bersedia, presiden adalah komander (manakala) Armada menjadi laskar yang akan bersama-sama perjuangan," katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Armada, pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, beberapa pemimpin PN antaranya Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dan Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau saling berbalas kenyataan berhubung isu calon 'poster boy' gabungan itu menjelang PRU16.

Ahmad Faizal dan Dominic mempertahankan Ahli Parlimen Pagoh itu perlu diangkat menjadi calon Perdana Menteri manakala Hashim menegaskan, Pas lebih layak memimpin kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen.

**media[2908525]**

Dalam pada itu, Muhammad Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia menegaskan, sayap parti itu akan terus berdiri teguh dan setia untuk maju bersama Muhyiddin sehingga gabungan berkenaan berjaya merampas Putrajaya.

"Armada adalah laskar yang akan mendayung bahtera Bersatu menurut peta kemudi Tan Sri Presiden.

"Untuk sampai ke Putrajaya, kita harus bekerja sebagai satu pasukan yang utuh dan efektif, bersiap siaga dengan struktur organisasi serta pergerakan tersusun," ujarnya.