PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak dakwaan bahawa parti itu berdepan pergeseran dalaman dengan kewujudan kem-kem tertentu.
Malah tegas Naib Presidennya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, kesemua pemimpin parti itu memberi sokongan penuh terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasssin.
“Tidak ada kem dalam Bersatu tetapi kita merupakan sebuah parti yang sentiasa bersama dengan Muhyiddin.
“Semua orang ini orang presiden,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di sini pada Selasa.
**media[2906098]**
Terdahulu spekulasi menyatakan Bersatu berpecah kepada tiga kem iaitu kem Muhyiddin, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga didakwa menjadi punca pergaduhan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) baru-baru ini.
Ujar Mohd Radzi, tuduhan tidak berasas itu sengaja dicipta oleh pihak tertentu yang tidak senang dengan Bersatu.
“Sebabnya kita mempunyai ramai panglima yang hebat dan terkenal, maka ramailah orang bercerita,” jelas beliau.
Mohd Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, pemilihan kepimpinan Bersatu di peringkat induk dan sayap baru-baru ini menjadi bukti perwakilan parti itu telah membuat pilihan terbaik terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Kalau dilihat komposisi kepimpinan yang dipilih ini datang daripada pelbagai latar belakang, mempunyai kekuatan tersendiri dan saya yakin, insya-ALLAH Bersatu akan terus lebih cemerlang dalam menghadapi PRU16,” ujarnya.
Menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung minggu ini, Mohd Radzi akan menekankan mengenai perkembangan parti kepada seluruh kelompok masyarakat khususnya dalam kalangan golongan muda dan kumpulan profesional.
“Kita inginkan Bersatu ini menjadi satu wadah untuk rakyat di pelbagai peringkat dan latar belakang untuk bersama-sama perjuangkan perkara yang mana rakyat rasakan amat penting bagi memastikan Malaysia ini menjadi sebuah negara jauh lebih baik.
“Jadi keutamaan kita adalah untuk melihat supaya Bersatu terus kekal kuat dan terus maju ke hadapan serta menjadi pilihan rakyat sebagai satu wadah untuk bersama-sama menyampaikan hasrat berjuang dalam membina Malaysia yang jauh lebih baik,” tambahnya.
**media[2906097]**
Dalam pada itu, beliau berkata, Bersatu akan memastikan kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya sebelum ini terus dikekalkan dengan memperkukuhkan akar umbi.
“Jadi apa yang paling penting adalah untuk kita kukuhkan akar umbi di kawasan-kawasan ini dengan memastikan cawangan yang ada dapat bergerak dengan aktif dan menubuhkan cawangan baharu.
“Kawasan itu amat penting bagi kita kerana ia merupakan kerusi kita sama ada di peringkat Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Selain daripada itu, tumpuan perlu diberikan untuk memastikan jentera kukuh dapat disediakan dalam menghadapi PRU16,” ulasnya.