Cukuplah berbahas isu papan tanda iklan, fokus masalah lebih penting

SHAH ALAM - Perbalahan mengenai papan tanda tidak sepatutnya mengambil masa yang lama dalam Dewan Rakyat dan ruang media yang perlu dimanfaatkan untuk membicarakan isu lebih penting.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, dasar dan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda tidak menekan apa-apa bahasa lain, malah jauh lagi untuk melarang penggunaan bahasa lain termasuk pelbagai bahasa ibunda di Malaysia.

Menurutnya, semua pihak mengetahui bahawa pihak berkuasa sekadar menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Ini bermakna semua iklan perlu dipaparkan dalam bahasa rasmi dan boleh juga dalam apa-apa bahasa lain selaras dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Berdasarkan undang-undang kecil itu, huruf bagi perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan bersaiz lebih besar daripada huruf atau tulisan perkataan bahasa lain untuk papan tanda iklan premis perniagaan.

"Penguatkuasaan dijalankan bukan menyasarkan bahasa Cina sahaja, malah papan iklan bahasa Nepal, bahasa Bangladeshi dan bahasa yang lain tidak mematuhi undang-undang turut diambil tindakan," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mengkritik penguatkuasaan DBKL terhadap papan tanda iklan berbahasa Cina kerana ia mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya.

King Sing berkata, langkah kontroversi itu menyebabkan rasa tidak puas hati yang ketara dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan beberapa pelancong antarabangsa.

Mengulas lanjut, Chean Chung memaklumkan, bagi peniaga yang mahu mempamerkan logo perniagaan lebih besar dan menyerlah dalam bahasa masing-masing, mereka perlu lakukan tanda dagangan.

Ujar beliau, ia merupakan pendekatan kerajaan yang mewujudkan suasana perniagaan kondusif, di samping memberikan ruang kepada perkembangan bahasa lain tetapi tidak berkrompomi dengan penggunaan bahasa rasmi negara.

"Tidak kira menjalankan perniagaan di mana-mana negara, pemilik sudah tentu akan fahami peraturan tempatan dan ikut akta atau peraturan yang ditetapkan di negara atau kawasan tersebut," katanya.