Kerajaan Anwar bergelut prestasi 'F' - Mohd Yadzil

SECARA keseluruhannya, saya berpandangan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusia dua tahun ini adalah kerajaan gagal teruk dan boleh dikategorikan sebagai gred ‘F’.

Kenapa saya katakan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar gagal? Ini adalah kerana pelbagai faktor.

**media[2901659]**

GAGAL TUNAIKAN JANJI MANIFESTO PRU15

Faktor pertama adalah kerajaan Madani dan parti komponennya dilihat gagal menunaikan pelbagai janji manis dan manifesto ditabur mereka semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Antara kegagalan terbesar kerajaan Madani pimpinan Anwar adalah gagal mengawal kenaikan harga barang dan kos sara hidup rakyat seperti yang dijanjikan mereka sebelum PRU15 lalu.

Malah, sehingga hari ini isu misteri kehilangan beberapa barangan keperluan harian di pasaran seperti beras tempatan dan minyak masak peket terus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Justeru, saya melihat kerajaan Madani hari ini lebih gagal daripada kerajaan sebelumnya. Malah, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pun sudah banyak spekulasi timbul.

KERAJAAN MADANI BANYAK BEREKSPERIMEN

Kerajaan Madani banyak membuat kesilapan dengan mengumumkan terlebih dahulu sebelum melakukan kajian terperinci dan memberi penerangan lanjut. Misalnya, isu penggunaan istilah T15 (isi rumah berpendapatan melebihi RM13,000) yang disebut Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen baru-baru ini.

Bagi saya, perkara itu hanya sekadar try and error atau hanya mahu menguji atau melihat maklum balas rakyat sebelum kerajaan memberikan definisi sebenar T15.

GAGAL TINGKAT EKONOMI, PENDAPATAN RAKYAT

Kerajaan Madani juga dilihat gagal menyelesaikan pelbagai masalah asas sehingga menyebabkan rakyat hidup dalam keadaan tertekan dan makin susah.

Rakyat sekarang bukan hanya tidak boleh menyimpan, malah mereka tidak mempunyai wang mencukupi untuk berbelanja dan membeli barang keperluan harian.

Majoriti rakyat Malaysia sekarang terpaksa membelanjakan lebih banyak wang kerana harga barang keperluan harian semakin meningkat.

Malah, ramai peniaga juga merungut kerana pendapatan mereka berkurangan berikutan peningkatan kos operasi dan penurunan margin keuntungan, manakala kuasa membeli pengguna semakin berkurangan.

Jadi, saya tidak nampak apa usaha kerajaan Madani untuk meningkatkan ekonomi dan sumber pendapatan rakyat. Keadaan itu akan bertambah teruk apabila ada ura-ura pelbagai subsidi bakal ditarik balik mulai tahun depan.

PELABURAN ASING TIDAK MENYAKINKAN

Dari segi pelaburan asing juga nampaknya indah khabar dari rupa dan dilihat tidak berkembang serta sekadar pengumuman sahaja. Sebagai contoh, setiap kali Perdana Menteri pergi lawatan ke luar negara, kerajaan akan mengumumkan ramai pelabur asing berminat melabur di Malaysia dengan nilai pelaburan berbilion ringgit, namun realitinya bukan seperti yang dicanangkan.

Sama juga kes kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka; mereka juga mengumumkan kononnya ramai pelabur asing berminat melabur di negeri itu selepas beliau pulang dari lawatan ke luar negara.

Namun apabila kita semak data dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), didapati tidak banyak pelaburan asing yang masuk ke Melaka, malah semakin merosot berbanding di era kerajaan sebelum ini. Ini menunjukkan para pelabur asing tidak berminat dan takut untuk melaburkan dana mereka di Malaysia.

PERSEPSI RASUAH DUA DARJAT

Kalau kita tengok situasi sekarang selepas dua tahun kerajaan Madani mentadbir, tidak banyak perbezaan jika dibandingkan dengan zaman kerajaan sebelum ini.

Malah, banyak projek bernilai ratusan juta ringgit diberikan secara rundingan terus kepada syarikat tertentu biarpun sebelum ini Pakatan Harapan (PH) lantang bersuara dan menolak amalan sedemikian dengan alasan langkah itu menjurus kepada amalan rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa.

Terbaharu, banyak pihak mempertikaikan pendedahan Perdana Menteri di Dewan Rakyat mengenai kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang dikatakan mempunyai kepentingan tertentu.

Pendedahan itu menimbulkan persoalan mengenai isu integriti apabila pihak berkepentingan secara tiba-tiba bersetuju membiayai kos lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara.

Malah, banyak lagi kepincangan pentadbiran kerajaan Madani yang belum dibongkar kerana ramai penjawat awam tidak berani bercakap kerana terikat dengan etika kerja dan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Namun, persepsi rakyat mengenai indeks rasuah di Malaysia sekarang adalah teruk.

PERUNTUKAN PEMBANGKANG HANYA TINGGAL JANJI

Saya yakin Anwar dan kerajaan Madani termasuk di Melaka, tidak akan menunaikan janji mereka kerana sekatan peruntukan ini adalah salah satu strategi mereka untuk memastikan wakil rakyat pembangkang tidak menonjol, sekali gus menyekat kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU16 nanti.

Ini kerana jika diberikan peruntukan sama rata, wakil PN akan memanfaatkan sepenuhnya dana berkenaan untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan.

Jadi, ini adalah salah satu cara kerajaan Madani dan Perdana Menteri untuk menghalang wakil PN menunjukkan keprihatinan dan menjaga kebajikan rakyat. Keadaan pembangkang sekarang ibarat seorang peninju yang dicabar untuk bertarung di gelanggang tetapi tangan dan kaki diikat rapi dengan tali.

* Dr Mohd Yadzil Yaakub ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu