PN rugi besar jika tolak MoU - Penganalisis politik

SHAH ALAM - Penolakan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan Perikatan Nasional (PN) kali ini akan memberi risiko besar kepada blok pembangkang.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, ini kerana sekiranya PN menolak kerjasama itu kebarangkalian tiada lagi peluang untuk MoU dilanjutkan pada masa depan.

Menurutnya, jika perkara itu berlaku, pihak yang paling rugi adalah PN sendiri.

“Risiko besar kalau PN tolak sekali lagi memandangkan permintaan rundingan kali ini datang daripada PN. Agenda ini sangat penting bagi memastikan reformasi institusi berjalan dan diperkasakan.

“Kerjasama itu perlu memandangkan ia akan membawa kestabilan politik jangka panjang. Dalam masa sama mewujudkan suatu mekanisme kepada pembangkang yang sangat diperlukan bagi memastikan kesemua ahli Parlimen mendapat peruntukan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sebelum ini, kerajaan mengalu-alukan PN untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan MoU berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, proses perbincangan masih ada walaupun pembangkang sebelum ini pernah menolak tawaran tersebut.

Tambah Mujibu, MoU itu adalah sebahagian daripada usaha reformasi institusi yang dibawa kerajaan Madani.

Jelasnya, kini adalah masa terbaik buat PN untuk memperincikan syarat-syarat dalam MoU tersebut.

“Melihat kepada syarat terdahulu nampak tidak ada apa yang sukar untuk dipersetujui. Justeru, kalau kekal ikut terma lama ia masih bersifat menang-menang kepada kedua-dua pihak.

“Namun sekiranya ada syarat baharu, ia perlu dibangkitkan oleh pembangkang memandangkan dalam kes lepas, MoU yang ditolak hanya menyatakan isu bertentangan dengan perlembagaan, hak kebebasan bersuara serta nilai budaya, moral dan agama.

“Jadi, saya tidak nampak ia akan ditolak selagi mana syarat MoU itu tidak melanggar apa-apa perkara yang bertentangan undang-undang dan perlembagaan,” jelasnya.