SHAH ALAM - Pelan kompromi peralihan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dicadangkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilaksanakan tanpa ragu-ragu, kata Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, Dr Mahathir Mohd Rais.
Jelasnya, pelan berkenaan termasuklah cadangan pelantikan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai setiausaha agung (SUA) parti yang baharu, dijangka dimuktamadkan pada sesi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pertama selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada 28 November ini.
Justeru, Mahathir menolak sebarang desas-desus mengatakan terdapat calon lain dipertimbangkan bagi jawatan berkenaan atau Mohamed Azmin sendiri menolak pencalonan berkenaan.
“Pandangan peribadi saya, tiada calon lebih tepat dan layak dilantik setiausaha agung parti berbanding (Mohamed) Azmin. Beliau juga mendapat sokongan Presiden.
“Jadi tiada timbul isu kononnya siapa bakal dilantik presiden (bagi jawatan-jawatan lantikan). Ini kerana perkara itu di bawah budi bicara beliau dan saya yakin presiden sudah mempunyai pertimbangan terbaik untuk mengukuhkan parti,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Dalam pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengumumkan pasukan ‘kompromi’ Muhyiddin yang terdiri daripada Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ketua Pimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berjaya dipilih sebagai tiga naib presiden parti itu.
Seorang lagi pemimpin utama Bersatu yang dilibatkan dalam cadangan pelan kompromi kepimpinan parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut dijamin tempat dan menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan presiden.
Berikutan itu, majoriti pemerhati politik menjangkakan Muhyiddin akan mengotakan janji melantik Mohamed Azmin sebagai Setiausaha Agung baharu bagi menggantikan Hamzah dalam mesyuarat MPT akan datang, sebagai sebahagian proses rekonsilisasi parti bagi mendepani pelbagai cabaran pilihan raya mendatang.
Sementara itu, Mahathir turut mencadangkan pucuk kepimpinan Bersatu mempertimbangkan pelantikan wakil MPT tambahan dalam kalangan perwakilan dari tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Pulau Pinang.
Tambahnya, ini kerana barisan kepimpinan baharu MPT Bersatu yang menang bertanding dalam pemilihan parti tempoh hari hampir tidak meliputi pemimpin dari tiga negeri berkenaan dengan Mohd Radzi merupakan satu-satunya wakil Bersatu Wilayah Persekutuan.
“Kalau kita lihat dalam barisan ahli MPT baharu, terdapat beberapa negeri yang mempunyai perwakilan lebih ramai dan saya fikir parti perlu memberi ruang kepada suara perwakilan dari negeri-negeri yang tidak mendapat tempat.
“Saya turut mengharapkan pucuk kepimpinan meletakkan satu petunjuk prestasi utama (KPI) kepada semua pemimpin terpilih memegang jawatan utama.
“Ini penting bagi memastikan mereka benar-benar berperanan memposisikan Bersatu sebagai tunjang blok pembangkang yang relevan dengan suara hati rakyat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah turut mengesahkan senarai barisan kepimpinan baharu Bersatu yang lengkap akan diumumkan Muhyiddin selepas sesi mesyuarat MPT penggal baharu.
Beliau turut menyifatkan sesiapa sahaja pemimpin Bersatu yang bakal dilantik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu kelak akan mendapat sokongan tidak berbelah bahagi ahli-ahli parti.
“Bagi saya, sesiapa pun yang bakal dilantik presiden, saya tidak ada masalah dengan barisan kepimpinan baharu.
“Paling penting, pucuk kepimpinan baharu ini perlu mempersiapkan agenda penting untuk menyediakan parti bagi mendepani medan pilihan raya berturut-turut pada tahun hadapan bermula Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Cuma, saya menjangkakan Muhyiddin akan mempertimbangkan pelantikan beberapa calon ahli MPT wanita memandangkan tiada calon wanita yang berjaya dalam senarai 20 ahli MPT menerima undian tertinggi,” katanya lagi.