SHAH ALAM – Parti Warisan (Warisan) mengesahkan kewujudan pertemuan tidak rasmi dengan beberapa pemimpin parti tempatan, pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan soal kerjasama serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, langkah itu diambil kerana secara dasarnya, Warisan tidak menolak kemungkinan untuk menjalin kerjasama politik dengan pelbagai pihak khususnya BN dan PH.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini proses perbincangan berkenaan masih belum memasuki fasa serius dengan segala keputusan tertakluk di bawah kebijaksanaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Pada masa ini, Warisan memang mempunyai hubungan dengan gabungan PH dan BN di peringkat kerajaan Persekutuan serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Namun kami tetap dengan pendirian untuk menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,” katanya kepada Sinar Premium.
**media[2892139]**
Dalam perkembangan lain, Mohd Azis berkata Warisan tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik, termasuk PH-BN atau Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kita perlu membuat pertimbangan wajar untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan di peringkat kerajaan Persekutuan.
"Ini kerana Sabah hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen sahaja.
“Oleh itu, kita perlu bergabung dengan parti di Semenanjung untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan di Putrajaya selepas PRU16,” katanya.
Dalam konteks politik Sabah beliau berkata, Warisan masih mengutamakan pendirian untuk bekerjasama dengan parti politik tempatan kerana sentimen sokongan pengundi lokal yang kuat.
Malah, Mohd Azis turut menyifatkan hubungan politik antara Warisan dan BN-UMNO kekal utuh, mengambil kira kerjasama terjalin di bawah semangat Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebagai contoh kita dapat melihat pemimpin Warisan yang menghadiri program anjuran UMNO Sabah apabila dijemput, begitu juga sebaliknya.
“Bahkan GRS juga menjalinkan kerjasama baik dengan UMNO di peringkat Persekutuan,” jelasnya.