'Daim yang diam' dari kaca mata dua sahabat

PADA Rabu, Malaysia dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh negara yang amat dihormati iaitu Tun Daim Zainuddin akibat komplikasi strok ketika menerima rawatan di hospital, baru-baru ini.

Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin merupakan figura yang memberikan sumbangan besar kepada Malaysia, terutamanya dari aspek pengurusan kewangan negara.

Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Menteri Kewangan dua kali, banyak dasar penting diperkenalkan untuk memperkukuhkan ekonomi negara, termasuk langkah-langkah berani dalam menangani krisis kewangan Asia pada 1997 dan 1998.

Menyelusuri kenangan bersama sahabat dikenali sejak lewat 70-an itu, bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr Rais Yatim berpeluang bekerja rapat dengan Daim ketika menyandang jawatan sebagai Menteri Penerangan pada 1984.

Katanya, Daim bukan sahaja lebih suka menyendiri tetapi cenderung menganalisis isu-isu besar, khususnya berkaitan ekonomi dan kewangan.

**media[2889959]**

“Beliau tidak banyak bercakap, malah jika diterbalikkan ‘Daim’ adalah ‘diam’, menggambarkan peribadi beliau yang lebih suka berfikir secara mendalam daripada mencari perhatian.

“Daim dikenali dengan keupayaan luar biasa dalam meneliti fakta daripada naratif panjang lebar. Walaupun sesebuah laporan itu mengandungi 12 muka surat, beliau mampu merumuskan inti pati penting dalam hanya beberapa perenggan.

“Keupayaan beliau untuk membaca dengan cepat dan memberikan rumusan tepat menjadikan banyak orang terpesona,” katanya kepada Sinar Premium.

Lebih menarik, Rais berkata, Daim tidak berminat menyertai memorandum atau perhimpunan antarabangsa yang membosankan dan lebih gemar bekerja secara praktikal atau fokus kepada penyelesaian masalah dengan cepat.

“Sifat ini menjadikan beliau hebat dalam menangani isu-isu besar, terutamanya melibatkan kewangan negara. Banyak usaha dilakukan untuk menghindari pembaziran dan perbelanjaan yang tidak berfaedah serta memastikan setiap sen dibelanjakan memberikan pulangan positif untuk rakyat Malaysia.

**media[2889958]**

“Dari segi perwatakan, Daim tidak tergolong dalam kalangan mereka yang gemar bermegah dengan pakaian atau gaya hidup mewah. Beliau lebih suka bersederhana, sering dilihat dengan selipar dan pakaian kasual,” katanya.

SOALAN BAWA PELUANG

Ketika Rais menyerahkan tanggungjawab perbendaharaan UMNO kepada Daim pada sekitar 1984, beliau amat tertarik dengan soalan-soalan mendalam mengenai pengurusan wang parti yang diajukan oleh Daim.

“Soalan beliau adalah tentang kedudukan pemegang amanah yang gagal memulangkan wang UMNO dan bagaimana sumbangan parti dibelanjakan oleh kerajaan negeri. Daim menunjukkan minat yang tinggi terhadap ketelusan kewangan dan memastikan setiap perbelanjaan parti adalah sah dan bermanfaat.

**media[2889960]**

“Selain itu, pendekatan Daim yang berhati-hati dalam kewangan boleh dikaitkan dengan pengalaman beliau sebagai seorang arkitek utama dalam pembangunan ekonomi Malaysia.

“Taktik dan ketelitian dalam mengawal kos semasa membina rumah yang diterapkan dalam mentadbir Kementerian Kewangan memastikan tiada pembaziran dan setiap perbelanjaan memberi pulangan optimum untuk negara,” katanya.

Walaupun ramai yang menganggap Daim sebagai individu yang mengambil kesempatan, Rais berkata, beliau adalah tokoh yang memainkan peranan penting dalam penstrukturan semula kewangan UMNO.

“Daim telah mewujudkan kembali penstrukturan semula kumpulan Fleet dan berjaya mengembalikan kekuatan kewangan parti. Ia akhirnya membolehkan UMNO membina bangunan sendiri yang kini dikenali sebagai Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Daim banyak membantu memberikan khidmat nasihat kepada Perdana Menteri, terutamanya dalam soal kewangan dan pentadbiran. Sebagai orang Kedah, Daim memiliki hubungan yang sangat rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan sumbangannya tidak ternilai dalam memajukan negara dan parti,” ujarnya.

Ketika zaman Daim menjadi Menteri Kewangan, Rais berkata, daya tadbir kewangannya terbukti sangat berkesan, terutama ketika Malaysia berdepan krisis kewangan Asia pada 1997 sehingga 1998.

Ketika itu, pelabur antarabangsa seperti George Soros yang digelar sebagai ‘penyangak kewangan’, menggoncang pasaran melalui urus niaga Forex, menyebabkan banyak negara di Asia termasuk Malaysia mengalami kejatuhan nilai mata wang dan bebanan kewangan fiskal yang serius.

Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu, sangat cemas dan banyak negara terpaksa meminjam dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Namun, Daim mengambil pendekatan berbeza apabila memanggil rakan-rakan untuk berbincang cara mengelak dari bergantung kepada IMF yang dianggap sebagai alat kawalan Amerika Syarikat.

“Antara cadangannya adalah untuk membenarkan pelaburan Malaysia di luar negara dibawa balik ke tanah air dan dimasukkan ke dalam sistem perbankan tempatan. Dengan pelan ini, lebih RM30 bilion berjaya dibawa pulang ke Malaysia dalam masa tiga bulan.

“Malaysia menjadi satu-satunya negara yang tidak terperangkap dalam pinjaman IMF, berbanding negara-negara lain yang terpaksa meminjam dana. Keberkesanan tindakan ini akhirnya membawa kepada pemulihan ekonomi Malaysia dan Dr Mahathir memberi pengiktirafan penuh kepada Daim,” jelasnya.

Kejayaan projek Maluri di Malawati, Bangi, Gombak, serta Selatan Kuala Lumpur telah memberikan lonjakan ekonomi kepada Daim.

“Sebagai seorang yang berpengalaman dalam industri pembinaan, Daim lebih suka bekerja pada waktu malam, mengutamakan hasil berbanding protokol. Pengurusan kewangan projek-projek besar ini adalah hasil pengalaman dalam berniaga dan menguruskan dana besar.

“Selain itu, keuntungan yang diperoleh daripada projek Maluri tidak hanya memberi manfaat kepada beliau, tetapi disumbangkan secara tersembunyi kepada golongan yang memerlukan.

“Daim mempunyai dua yayasan yang menyumbang kepada kebajikan anak-anak yang bersekolah. Beliau juga banyak menyumbang kepada komuniti di Kedah dan Langkawi menerusi senarai orang miskin yang didapatinya secara substantif,” katanya.

KEHILANGAN SAHABAT BAIK

Tahun lepas, Rais sempat menjemput Daim ke Jelebu, di mana beliau menunjukkan minat yang mendalam terhadap industri sekuriti makanan, namun malangnya tidak dapat meneruskan projek tersebut kerana masalah kesihatan.

“Kali terakhir kami bertemu adalah sekitar tujuh ke lapan bulan lalu di Bangunan Ilham. Saya sangat risau dan sedih apabila pihak berkuasa secara tiba-tiba mengarahkan beliau untuk mengisytiharkan pegangan sahamnya.

“Bagi saya, pendekatan ‘gelagat baharu’ yang menyebabkan pemimpin lama dikecam hanya membawa keburukan. Daim juga sempat meluahkan rasa sedih dan kecewa kepada saya,” katanya.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib turut berkongsi pengalaman beliau bersama Daim yang dikenalinya sejak 1980-an.

Beliau berkata, Daim seorang yang sangat berjimat dalam urusan kewangan, baik untuk dirinya mahupun negara.

“Sebagai contoh, Daim mencadangkan semua menteri menggunakan Proton Perdana sebagai sokongan kepada industri automotif Malaysia. Daim juga dikenali kerana sikapnya yang tidak boros.

“Terdapat satu peristiwa di mana beliau memarahi pengawal peribadinya yang membeli baju berharga RM400 dan menegaskan pembelian itu merupakan satu pembaziran,” katanya.

Tambahnya, era kegemilangan Daim sebagai Menteri Kewangan sangat berjaya kerana beliau mengutamakan perancangan teliti dan memastikan keberhasilan projek-projek rakyat yang memberi manfaat jangka panjang.

“Dalam sektor perbankan, Daim berjaya menyatukan bank-bank yang banyak pada masa itu menjadi satu perbankan lebih kukuh dan stabil. Keputusan ini memperkuatkan sistem perbankan negara dan menjadikannya lebih efisien dalam menghadapi cabaran ekonomi,” katanya.