Spekulasi MB Johor: Aminolhuda, Suhaizan serah kepada parti

JOHOR BAHRU – Dua pemimpin Pakatan Harapan (PH), Aminolhuda Hassan dan Suhaizan Kaiat terus disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi diangkat sebagai Menteri Besar Johor sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, gabungan itu mempunyai beberapa calon berkelayakan dan berpotensi memegang jawatan tersebut jika mencapai kemenangan pada PRN.

Menurutnya, soal siapa bakal menerajui pentadbiran negeri hanya akan diputuskan selepas keputusan pilihan raya diketahui kerana keutamaan ketika ini adalah memastikan kemenangan calon bertanding.

"Berdasarkan pengalaman lalu, apabila kita keluarkan poster boy, perkara itu tidak digemari kebanyakan pihak.

“Kita ada calon yang layak untuk menjadi Menteri Besar. Mereka mempunyai kualiti diperlukan, cuma perlu menang terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas mengenai namanya yang disebut-sebut sebagai antara calon Menteri Besar, beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Gading menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan parti.

Dalam pada itu, Aminolhuda turut memberi bayangan Amanah juga bersedia memberi ruang kepada golongan muda untuk memikul tanggungjawab kepimpinan negeri sekiranya mendapat mandat rakyat.

“Jika diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menjadi wakil rakyat dan pada masa sama diterima semua pihak sebagai calon Menteri Besar, mengapa tidak?," katanya.

Sementara itu, bagi Ahli Parlimen Pulai yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat menegaskan soal calon Menteri Besar akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi gabungan selepas keputusan pilihan raya.

“Jika merujuk kepada pengalaman PRN 2022, terdapat parti yang kemukakan poster boy tetapi akhirnya timbul masalah dan mendapat teguran daripada Tuanku ketika itu. Jadi, saya lebih berhati-hati,” katanya.

Beliau menegaskan fokus ketika ini bukan kepada gelaran atau jawatan, sebaliknya usaha parti dan persiapan menghadapi pilihan raya.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia sekiranya dinamakan sebagai calon Menteri Besar jika PH menang, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada keputusan parti.