PUTRAJAYA - Setiap bahan bukti termasuk yang dikatakan sebagai manipulasi teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu disiasat dengan lebih teliti untuk menentukan ketulenan sebelum kes pendakwaan diteruskan di mahkamah.
Ini kerana kata peguam M Hafiz Zainol Abidin, dengan kemajuan teknologi pada masa ini, suntingan dapat dilakukan dengan mudah.
“Siasatan tidak boleh hanya sekadar bersandarkan kepada rakaman itu semata-mata yang sumber asalnya tidak diketahui.
“Apatah lagi rakaman audio sangat mudah untuk dimanipulasi atau disunting dengan teknologi yang semakin canggih sekarang,” katanya.
Ujar beliau, di dalam perundangan, mahkamah boleh menggunakan Seksyen 136 Akta Keterangan untuk menentukan sama ada sesuatu audio atau visual itu mempunyai keraguan daripada segi ketulenannya.
“Setiap dokumen digital juga perlu dikemukakan sijil di bawah Seksyen 90A Akta Keterangan,” jelas M Hafiz.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang didakwa menjadi mangsa manipulasi AI susulan penyebaran klip video berhubung skandal rasuah melibatkan beberapa ahli politik di sebuah negeri.
Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad percaya ada pihak telah mengambil kesempatan terhadap kecanggihan AI sehingga mengaitkan dirinya dengan skandal tersebut.
Beliau turut dilapor mengaitkan dakwaan itu dengan sentimen semasa berikutan tempoh Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) yang sudah semakin hampir.
Justeru Yusof menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan penglibatannya dalam suapan bernilai RM4 juta membabitkan seorang kontraktor.
Mengulas lanjut, M Hafiz berkata, pihak siasatan juga perlu mendapatkan fail asal daripada peranti yang merakamkan bukti audio berkenaan sekiranya mahu ia diterima mahkamah.
“Kes masih boleh dibawa ke mahkamah cuma berkenaan dengan kebolehterimaan audio tersebut bergantung kepada bantahan atau pun hujahan pihak-pihak semasa sesi pengemukaan audio tersebut,” katanya.