SHAH ALAM - Pendedahan afidavit Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat sendiri salinan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya merupakan petunjuk jelas bahawa ia bukan khabar angin.
Titah Adendum itu sebelum ini telah dikemukakan supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Bekas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, dalam kenyataan afidavit Ahmad Zahid yang menyokong permohonan semakan kehakiman Najib terhadap dakwaan kewujudan Titah Adendum, Presiden UMNO itu diberitahu kewujudannya menerusi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Lebih menarik, Azhar Azizan menjelaskan bahawa Ahmad Zahid bukan sahaja dimaklumkan kewujudan titah itu, bahkan beliau menerusi keterangan afidavit menyatakan Tengku Zafrul turut menunjukkan sesalinan Titah Adendum berkenaan kepada beliau menerusi telefon pintar.
“Dari segi konsep perundangan, hearsay (khabar angin) adalah keterangan yang tidak boleh diterima mahkamah untuk membuktikan benar atau tidak perkara dinyatakan.
“Dalam kes dakwaan kewujudan Titah Adendum berkaitan nasib Najib, sekiranya Ahmad Zahid dan (Menteri Besar Pahang) Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hanya menyatakan mereka diberitahu bahawa titah terbabit wujud, mungkin pandangan hearsay yang diputuskan mahkamah adalah keputusan betul.
“Bagaimanapun, kenyataan ini hakikatnya masih boleh diterima mahkamah untuk membuktikan keadaan minda Ahmad Zahid dan Wan Rosdy iaitu mereka percaya bahawa terdapatnya satu Titah Adendum.
“Ditambah Ahmad Zahid sendiri menyatakan dalam keterangan afidavitnya bahawa beliau telah secara peribadi melihat sesalinan Titah Adendum itu. Maka keterangan beliau bukan lagi hearsay,” katanya kepada Sinar Premium.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menjelaskan pendirian Kerajaan Madani dalam isu kewujudan Titah Adendum membabitkan Najib adalah hearsay, selari dengan ulasan kehakiman diputuskan mahkamah sebelum ini.
Azhar Azizan turut menjelaskan 'khabar angin' mengenai kewujudan Titah Adendum masih boleh dianggap relevan dan boleh diterima mahkamah.
Jelasnya, ini kerana ramai dalam kalangan akar umbi UMNO termasuk keluarga Najib sendiri yang percaya bahawa kewujudan Titah Adendum itu ada asas kebenarannya.
“Pada pendapat saya, polemik ini tidak akan terhenti selagi kerajaan tidak dengan secara jelas dan tepat menjawab pertanyaan-pertanyaan berikut iaitu soal kewujudan Titah Adendum dan pendirian kerajaan sekiranya ia wujud.
“Kerajaan perlu berterus-terang mengenai perkara ini dan tidak berterusan berdolak-dalik dengan kenyataan-kenyataan samar yang hakikatnya mengundang lebih banyak persoalan daripada jawapan.
“Apa pun kesalahan Najib, sebagai seorang rakyat yang telah membuat satu petisyen diraja, beliau berhak dan mempunyai legitimate expectation (jangkaan sah di sisi undang-undang) untuk diberitahu keputusan penuh petisyen diraja yang dikemukakan beliau dengan segera.
“Paling penting, Najib juga berhak mendapat pelaksanaan penuh terhadap apa-apa keputusan pengampunan diraja terhadap kesalahannya,” katanya
Azhar Azizan juga tidak menolak kemungkinan bahawa faktor politik turut memainkan peranan dalam polemik Titah Adendum melibatkan Najib, sehingga isu berkenaan seolah-olah menjadi suatu beban yang tidak ingin digenggam atau ditangani sesiapa.
“Saya rasa kerajaan tidak sepatutnya berselindung di sebalik prinsip undang-undang keterangan di dalam menangani isu pentadbiran dan urus tadbir negara.
“Dalam konsep undang-undang keterangan ini, sekiranya sesuatu kenyataan dibuat terhadap satu pihak dan pihak itu tidak menyangkal atau menafikan kenyataan itu serta tidak mahu memberikan keterangan bertentangan, maka mahkamah boleh membuat anggapan bertentangan (adverse interference) terhadap pihak itu.
“Dalam hal ini, dengan kenyataan bersumpah melalui afidavit dibuat beberapa pemimpin UMNO bahawa adanya Titah Adendum itu, namun kerajaan tidak menafikannya dengan spesifik serta tidak mengemukakan apa-apa keterangan sebaliknya, maka dengan menggunakan anggapan bertentangan, bolehlah dianggap bahawa Titah Adendum itu sememangnya wujud,” katanya.