'Pas berhimpun untuk Najib bukan sebab gila kuasa' - Razman

IPOH - Pas Perak menyifatkan tuduhan bahawa parti itu 'gila kuasa' kerana mengadakan himpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tidak berasas.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya menolak tuduhan kerana berbaur fitnah yang bertujuan mengelirukan rakyat dan mempolitikkan isu keadilan.

Menurutnya, Pas Perak menyokong penuh pendirian Pas pusat terhadap himpunan berkenaan yang dianjurkan atas prinsip keadilan dan bukan berdasarkan kepentingan individu.

"Dalam konteks ini, Titan Adendum merujuk kepada penambahan atau perubahan kepada dokumen atau perjanjian untuk menjamin keadilan lebih menyeluruh dalam sesuatu kes perundangan.

"Pas Perak percaya bahawa mempertahankan Titah Adendum ini adalah penting untuk menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjamin keadilan kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan atau latar belakang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Razman berkata, harus diingat bahawa adendum tersebut merupakan titah yang pernah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan ia turut diperakui oleh pemohon, iaitu anak kepada Najib sendiri.

Menurutnya, titah tersebut menunjukkan bahawa proses perundangan negara ini sentiasa terbuka untuk disemak bagi memastikan keadilan benar-benar ditegakkan tanpa tekanan politik atau prasangka.

Dalam pada itu, Razman berkata, Pas Perak turut mengecam tindakan DAP yang sering menunggang istilah perpaduan untuk mencapai agenda politik mereka, khususnya Malaysian Malaysia.

Menurutnya, perpaduan tidak boleh dicapai dengan menidakkan hak-hak istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan tetapi ia hanya boleh dicapai dengan keadilan sosial yang menghormati sejarah, budaya, dan asas pembentukan Malaysia.

Justeru Pas Perak kekal komited memperjuangkan prinsip keadilan yang telus untuk semua rakyat Malaysia.

Katanya, tuduhan melulu oleh pemimpin DAP itui jelas merupakan taktik politik yang berniat jahat, sekali gus mencabar keharmonian masyarakat.

Sebelum ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memberi amaran bahawa kerjasama antara UMNO dan Pas dalam perhimpunan solidariti untuk Najib boleh menimbulkan keraguan terhadap kedudukan UMNO dalam kerajaan.

Ulas Guan Eng, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan politik malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan UMNO dalam membentuk kerajaan pada 2022 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.