Saran tiga langkah penambahbaikan kerajaan urus negara

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memikirkan langkah lain selain kenaikan cukai dan penyasaran subsidi untuk menambah pendapatan atau menguruskan negara.

Profesor Madya Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi dari Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, tiga langkah penambahbaikan ialah penyelarasan pengagihan semula kekayaan yang berkebajikan, menguruskan ketirisan cukai daripada mahakaya serta memperbanyakkan pekerjaan.

Menurutnya, berdasarkan ekonomi Islam, pengagihan semula kekayaan negara boleh didapati daripada zakat, wakaf, hibah, hadiah, sedekah, wasiat dan faraid.

“Kerajaan wajar beri perhatian kepada mekanisme pengagihan semula kekayaan negara ini agar agihan dapat diselaraskan sebaik mungkin.

“Tanpa Pangkalan Data Utama (PADU), kerajaan boleh mengenal pasti sasaran dengan menggunakan agensi kerajaan tersebut, selain tambah insentif kepada pengagihan zakat tanpa membuat semakan semula melalui sistem baharu,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan boleh mengukuhkan lagi sistem sedia ada di jabatan zakat serta memperkemaskan sistem data zakat selain memperluaskan tumpuan bukan sahaja kepada fakir miskin tetapi asnaf lain.

“Contohnya asnaf al-gharimin (berhutang) khususnya B40 dan M40 termasuk T20, ada yang memerlukan. Oleh itu, kategori B40 dan M40 sebanyak 85 peratus, maka zakat boleh memainkan peranannya,” jelasnya.

Mohd Syakir berkata, langkah kedua iaitu menguruskan ketirisan cukai daripada mahakaya.

“Cukai dikenakan kepada M40 dan T20 kerana adanya penyata gaji, ini menyebabkan bebanan rakyat belum terbela sepenuhnya. Sedangkan pengaut keuntungan ratusan ribu tidak terkesan.

“Setakat Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim maklumkan hanya 29 peratus iaitu 435,000 daripada 1.5 juta syarikat berdaftar membayar cukai. Di mana hasil pendapatan kerajaan daripada 71 peratus syarikat lain?” soal beliau.

Menurutnya, usaha memperbanyakkan pekerjaan sukar kerana kapitalis akan mengambil kesempatan memerah keringat pekerja sehingga menjadi humanomic (manusia ekonomi) dan tidak mampu keluar dari beban kerja.

“Pekerjaan di sektor awam perlu diperhebatkan untuk imbangi pekerjaan di sektor swasta khususnya dari golongan kapitalis,” ujarnya.

Mohd Syakir berkata, seperti dijelaskan Briggs, A (1961), terdapat tiga elemen utama negara kebajikan diamalkan di Britain.

“Pertama jaminan standard minimum termasuk gaji minimum. Kedua, perlindungan sosial sekiranya berlaku musibah. Ketiga jaminan perkhidmatan pihak berkuasa pada tahap terbaik,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, antara negara yang melaksanakan dasar kenaikan cukai dan penyasaran subsidi ketara ialah Greece kerana berlaku kebankrapan.

“Hutang negara tinggi selain boros dalam perbelanjaan menyebabkan krisis ekonomi Greece berpanjangan. Perdana Menteri Greece, George Papandreou menaikkan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), cukai alkohol, cukai rokok, peningkatan harga gas, pembekuan pencen dan had maksimum gaji kakitangan awam,” katanya.