Gaji RM15,000 ke RM20,000 sebulan belum maha kaya - Penganalisis

SHAH ALAM - Pendapatan bulanan RM15,000 ke RM20,000 sebulan tidak boleh diklasifikasikan sebagai maha kaya, kata Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.

Pakar ekonomi itu berkata, ini kerana ia masih di bawah kategori T2 dalam kumpulan T20 berdasarkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun lalu.

Sebaliknya, katanya, pengelasan pendapatan isi rumah perlu melihat kepada lokaliti dan kos sara hidup sesuatu kawasan sebelum mekanisme tepat dalam penentuan kumpulan dibuat.

“Pada pandangan saya, pengelasan isi rumah mengikut pendapatan agak kurang tepat. Sebab itulah kerajaan mengguna pakai jumlah pendapatan bersih (NDI), cuma belum diperincikan lagi.

“Saya yakin Kementerian Ekonomi sudah ada kaedah untuk menentukan apa yang dimaksudkan dengan NDI. Ini yang akan meletakkan kita dalam kategori mana bergantung kepada pendapatan bersih mengikut lokaliti dan kos sara hidup sesuatu kawasan.

“Dalam satu negeri, kos sara hidup antara daerah pun berbeza-beza, apatah lagi negeri dengan negeri. Belum tengok bandar dan luar bandar,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Justeru, beliau berpandangan, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung nilai ambang bagi gaji yang mungkin dalam kategori T15 iaitu RM15,000 hingga RM20,000 hanya perkiraan umum dan tiada perincian tepat.

Ahmad Azrin juga berpandangan, penglibatan Majlis Agama Islam negeri juga penting dalam menentukan mekanisme pengelasan pendapatan bersih meskipun agensi itu tidak berlandaskan NDI, sebaliknya had kifayah.

Kata beliau, biasanya agensi tersebut mengambil kira berapa pendapatan minimum yang boleh mencukupkan keperluan asasi satu isi rumah berdasarkan kos sara hidup semasa.

“Cara pengiraan Majlis Agama Islam negeri ialah melihat berapa jumlah pendapatan, kemudian kira dengan item yang boleh dibuat penolakan, contohnya cukai. Jadi, bakinya menentukan kita dalam kumpulan mana sama ada fakir, miskin atau sebaliknya.

“Sama juga dengan NDI kerana ia menggunakan kaedah begini. Jumlah RM15,000 di Kuala Lumpur berbeza dengan RM15,000 hidup di Kota Bharu, Kelantan.

“Kalau tengok pengelasan pendapatan ketika Covid-19, boleh dikatakan ramai yang B80 (berpendapatan paling bawah), tetapi relevan pada waktu itu.

“Dengan kemudahan teknologi sekarang, kita menggunakan NDI, cuma cabarannya dari segi tenaga kerja kerana baki bersih masing-masing berbeza,” ujar beliau.