SHAH ALAM - Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menunjukkan beliau sebagai seorang berjiwa besar.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi berkenaan.
“Satu sahaja jawapan saya, berjiwa besar,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Sabtu.
**media[2864250]**
Sementara itu, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, beliau menerima baik permohonan maaf terbuka Najib Razak berhubung salah laku dalam 1MDB.
“Kita terima, kita terimalah permohonan maafnya,” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak dan Festival Kraf Borneo Sarawak 2024 di Tebingan Kuching di sini.
**media[2864218]**
Pada masa yang sama, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tiada sesiapa lebih berkuasa berbanding undang-undang termasuk Najib.
Katanya, proses keadilan perlu ditegakkan walaupun Najib telah melakukan permohonan maaf secara terbuka.
“Segala hujah yang cuba mempertahankan kecurangan tersebut telah dipadamkan melalui permohonan maaf oleh Najib. “Tiada sesiapa yang lebih berkuasa berbanding undang-undang. Proses keadilan harus dan mesti ditegakkan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Jumaat.
Pada Khamis, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia menerusi kenyataan dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Beliau menegaskan bahawa dirinya tetap tidak bersalah dan tidak patut dihukum oleh mahkamah atas peranannya dalam skandal tersebut.
Najib berkata, walaupun beliau telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan, namun dia cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB.