Jangan sesekali usik kami - Akmal Saleh

MELAKA - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak gentar 'dicabar' mana-mana pihak terutama ketika memperjuangkan membabitkan isu sensitif di negara ini.

Beliau berkata, sekiranya pihak berkenaan tidak mahu beliau bersuara lantang dalam hal seperti itu, maka beringat untuk tidak sesekali 'mengusik' sayap parti itu.

"Kalau takut kena usik, jangan sesekali usik kami dulu.

"Jangan ingat kamu usik kami, kami diam membisu sahaja, orang lain mungkin, tetapi bukan kami, " katanya menerusi hantaran ringkas di media sosial, Facebook miliknya.

Media pada Isnin lalu, melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan agar pimpinan parti itu tidak 'mengusik' rakan-rakan parti komponen Kerajaan Perpaduan sehingga menimbulkan masalah.

Beliau berkata, hubungan dan situasi perpaduan semasa dalam kerajaan perlu dikekalkan dengan sikap hormat-menghormati.