SHAH ALAM - Keputusan dua tokoh penting Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Seri Rina Harun dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak bertanding dalam pemilihan akan datang menggambarkan usaha untuk memberi peluang kepada muka baharu bagi meremajakan semula parti itu.
Penganalisis politik yang juga Ketua Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, langkah itu juga bakal membuka lembaran baharu dalam struktur kepimpinan parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.
**media[2834998]**
“Keputusan kedua-dua pemimpin ini pasti memberi kesan kepada perjalanan parti. Ketiadaan mereka dalam kepimpinan mungkin membuka ruang kepada persaingan yang lebih luas dalam kalangan pemimpin-pemimpin baharu, sekali gus mempercepatkan proses peremajaan dalam parti.
“Ini juga mungkin memberi peluang kepada Bersatu untuk membentuk identiti baharu, mengurangkan pergantungan kepada tokoh lama, dan menonjolkan pemimpin-pemimpin muda yang lebih dekat dengan aspirasi rakyat.
“Walau bagaimanapun, jika muka baharu yang dipilih tidak mampu membawa perubahan atau memberi impak positif, parti mungkin kehilangan momentum dan sokongan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Rina yang juga bekas bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilapor tidak mempertahankan jawatan Ketua Srikandi bagi Pemilihan Bersatu 2024-2027.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Saiful Adli Arshad berkata, Rina ada menghantar borang pencalonan, namun selepas itu menarik diri.
Ditanya kemungkinan kedua-dua tokoh itu dianggap sudah tidak lagi relevan hingga memaksa mereka membuat keputusan sedemikian, Hussain Yusri menolak tanggapan tersebut.
Ini kerana katanya, politik merupakan perkara bersifat dinamik dan tidak menolak kemungkinan kedua-dua mereka ingin fokus kepada peranan di luar kepimpinan formal parti atau berstrategi untuk peranan lain dalam politik nasional atau antarabangsa.
Berhubung hala tuju parti yang dibentuk pada tahun 2016 itu terutamanya kesan kekalahan dua kali berturut-turut dalam siri pilihan raya kecil (PRK), beliau berkata, parti berkenaan perlu kembali bangkit.
“Bersatu pada masa ini dilihat berada pada persimpangan. Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan penglibatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), parti ini perlu menilai semula hala tuju mereka.
“Tidak bertandingnya dua tokoh ini mungkin menggambarkan usaha untuk meremajakan parti, tetapi ia juga menunjukkan bahawa Bersatu sedang berusaha mencari strategi jangka panjang yang sesuai untuk kekal relevan dalam landskap politik negara,” jelasnya.
Tambahnya, parti tersebut perlu mengimbangi antara mengekalkan pengaruh tradisi dan menyerap tenaga baharu bagi menghadapi cabaran politik yang lebih kompleks di masa hadapan.