DAP perlu contohi MCA tarik pengundi Cina - Akmal Saleh

SHAH ALAM - DAP perlu mencontohi MCA yang berusaha keras untuk memastikan pengundi Cina tampil ke tempat mengundi seperti yang dijanjikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang menyalahkannya menjadi punca pengundi Cina tidak keluar mengundi adalah tidak munasabah.

"Kepada Chin Tong, di PRK Sungai Bakap pun pengundi Cina tak keluar mengundi, adakah itu juga salah Dr Akmal Saleh? Walaupun Dr Akmal tiada di Sungai Bakap?

"Sepatutnya tanya pemimpin kamu yang keluarkan kenyataan mengganggu gugat ketenteraman negara bukan salahkan orang yang respon dengan kenyataan pemimpin kamu.

"Cuba contohi MCA yang kuat bekerja dan akhirnya membawa pengundi Cina asas mereka mengundi seperti yang dijanjikan. Nak salahkan saya? Ikut suka hati kau lah, parti kau," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, Chin Tong mendakwa perbalahan antara Muhamad Akmal dan Naib Presiden DAP, Teresa Kok menyebabkan pengundi Cina pada PRK DUN Mahkota marah dan kecewa sehingga tidak keluar mengundi Sabtu lalu.

Menurutnya, perbalahan itu menjadi faktor mendorong mereka untuk protes dan tidak menunaikan tanggungjawab tersebut sehingga peratusan pengundi Cina rendah.

Mengulas lanjut, Akmal Saleh berkata, UMNO perlu berubah menjadi lebih baik supaya kepercayaan rakyat terus diberikan kepada parti berkenaan.

Tegas beliau, UMNO juga akan mempertahankan prinsip menjaga agama Islam, bangsa dan tanah air walau dengan sesiapa sahaja.