PAGOH - Pertembungan calon bagi kerusi N8 Dun Bukit Pasir, di sini, sah menyaksikan satu lawan satu membabitkan parti BN dan Pas selepas calon Bersatu, Pizi Jihat diumumkan gagal bertanding.
Keputusan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus SPR, Zaidor Adani atas beberapa faktor setelah Proses Penamaan Calon bagi Parlimen Pagoh P143 di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, selesai sebentar tadi.
Pizi yang sebelum itu tiba di kompleks berkenaan untuk penyerahan borang penamaan calon pada jam 9.03 pagi bagaimanapun kelihatan tenang sebaik dimaklumkan keputusan itu.
Situasi tersebut sekaligus menyaksikan pertembungan dua penjuru di Dun Bukit Pasir membabitkan calon BN, Datuk Noriah Mahat dan Najib Lep daripada Pas.
Dalam perkembangan sama, kerusi P143 Pagoh turut mencuri tumpuan apabila sah memperlihatkan calon BN, Ismail Mohamed yang akan berhadapan dengan bekas mentornya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seorang lagi calon parti lawan Ahmad Nawfal daripada Pas.
Manakala kerusi N7 Dun Bukit Kepong juga tidak terkecuali daripada pertembungan tiga penjuru iaitu Mohamad Nor Taib (BN), Muhammad Nur Iqbal Abd Razak (Pas) dan Dr Sahrudin Jamal (Bersatu).