KEKUATAN
WALAUPUN disebut sebagai calon ‘underdog’, aura ‘orang lama’ calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar dilihat menjadi senjata ampuh digunakan untuk menarik sokongan pengundi sepanjang tujuh hari berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Beliau yang mesra dengan panggilan Coach Haizan turut menggunakan strategi gerakan kempen secara berkelompok, selain mengetengahkan isu-isu setempat yang memerlukan perhatian.
Pendekatan itu sedikit sebanyak menggambarkan sikap cakna beliau dalam usaha memastikan isu-isu setempat diberi perhatian.
Ia selari dengan matlamat PN yang dinyatakan sejak hari penamaan calon bahawa beliau mahu memperjuangkan suara rakyat.
Apatah lagi beliau sebagai individu bertanggungjawab yang menyelaras lebih 20 kawasan rukun tetangga (KRT) kawasan ini.
Maka, tidak hairanlah mengapa Coach Haizan amat peka terhadap masalah-masalah penduduk setempat.
Kekuatan yang ada pada Coach Haizan itu diakui oleh seorang pengundi yang juga ‘orang lama’ DUN ini, Mahat Ismail, 72, dengan menyifatkan kemenangan calon PN adalah sesuatu yang tidak mustahil.
**media[2817830]**
Mengakui meskipun berdepan cabaran calon lawan orang muda, beliau bagaimanapun percaya Coach Haizan mempunyai persona tersendiri dalam meraih keyakinan pengundi.
“Saya lihat sebagai orang lama, dia seorang yang berkeyakinan, berintegriti dan mempunyai semangat. Kalau dia menang memang kerana aura dia sendiri.
“Walaupun kempen (nampak) kurang (sambutan), macam ceramah (tidak ramai) tapi itu (terpulang) sikap pengundi sendiri.
“Jika dibandingkan dengan calon muda, kalau pengundi betul-betul ada pemikiran, gunakan akal, dia akan tetap pilih orang tua sebab lebih berpengalaman,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, sokongan daripada pucuk pimpinan tertinggi PN dalam tempoh pusingan pertama berkempen ini juga dijangka memberi kelebihan buat calonnya.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir berdialog bersama pertubuhan bukan kerajaan serta menyampaikan ucapan dalam ceramah mega dengan mengangkat isu-isu nasional.
Menurut Mahat, memandangkan kedua-dua calon ‘bersih’ daripada sebarang isu kawasan, bantuan kempen daripada pimpinan pusat menjelaskan isu-isu nasional bakal memberi impak katara.
“Sekarang tidak ada isu untuk ganggu lawan. Isu nasional sahaja akan main peranan besar dan jadi penentu (undi),” ujarnya.
Selain itu katanya, sukar untuk menafikan bahawa kempen media sosial jentera PN juga menjadi kekuatan kepada Coach Haizan.
“Nampak tidak ramai orang turun ceramah, tapi semua tengok di telefon (dalam talian) saja. Macam saya sendiri, kalua tidak turun ceramah, saya tengok siaran langsung di TikTok,” jelasnya.
KELEMAHAN
Tiada tawaran lebih spesifik untuk manfaat pengundi
KELEBIHAN Coach Haizan sebagai bekas pemain bola sepak Johor dan jurulatih tidak diterjemahkan dengan begitu ketara sepanjang lebih seminggu kempen PRK DUN Mahkota, menjadi ‘kerugian’ dalam usaha untuk meraih undi.
Lebih-lebih lagi melibatkan sokongan 52 peratus pengundi bawah umur 39 tahun yang disebut sebagai antara penyumbang utama kemenangan calon bertanding.
Peluang berharga sebagai individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang sukan sepatutnya digunakan sebaik mungkin dalam kempen agar pengundi khususnya anak muda melihat hala tuju spesifik yang ingin ditawarkan.
Tidak menolak perkara itu, Ahli Jawatankuasa Kelab Belia Mahkota, Fitri Ibrahim mendakwa, Coach Haizan dilihat menyentuh tentang program sukan namun tidak secara khusus mengenai idea yang ingin dilaksanakan.
**media[2817831]**
Sedangkan katanya, banyak program sukan dianjurkan baik daripada peringkat daerah, negeri dan juga persekutuan telah dilaksanakan sejak sekian lama yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Calon PN tidak menekankan kepada pendidikan kerana fokus kepada sukan. Tapi tidak pula dinyatakan idea program yang nak dibuat.
“Dalam ucapan kempen juga tidak banyak menyentuh idea pembaharuan untuk DUN Mahkota termasuk tidak menyentuh isu ekonomi anak muda, sedangkan sebahagian pengundi di DUN Mahkota adalah anak muda,” katanya.
Dalam pada itu, kemahiran berkomunikasi Coach Haizan yang tidak begitu menyerlah juga dilihat sebagai kelemahan dalam kempen yang dilaksanakan.
Lebih memburukkan keadaan, beliau turut menjadi mangsa ‘troll’ di media sosial yang mengundang kritikan banyak pihak.
Mengulas perkara itu, Fitri menyifatkan tidak mustahil isu berkenaan boleh menjejaskan sokongan pengundi khususnya golongan muda.
“Sebagai anak muda, ini adalah defisit keyakinan kerana kemampuan untuk menjawab soalan adalah salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh calon,” ujarnya.
Bagaimanapun, memandangkan PN bakal mengumumkan manifesto PRK DUN Mahkota dalam masa terdekat, berkemungkinan mampu menutup kelemahan yang ada kerana dijangka menyenaraikan tawaran yang lebih spesifik.
Namun sejauh mana ia mampu menjadi ‘bonus’ buat Coach Haizan untuk memenangi hati pengundi berbaki beberapa hari kempen ini hanya akan terjawab pada 28 September depan.