PRK Mahkota: PN lapor polis, dakwa BN guna aset kerajaan berkempen

KLUANG - Perikatan Nasional (PN) tampil membuat laporan polis terhadap Barisan Nasional (BN) yang didakwa menyalahgunakan jentera kerajaan bagi tujuan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard berkata, program Jom Orang Mahkota iaitu siri jelajah bertemu rakyat yang diketuai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, ini program menawarkan pelbagai hadiah menarik, sekali gus boleh dianggap sebagai sogokan kepada penduduk yang juga pengundi di DUN Mahkota.

"Jentera kerajaan digunakan secara tiba-tiba ada satu program dipanggil Jelajah Orang Mahkota. Begitu juga dengan tentera tiba-tiba buat pameran dan sebagainya.

"Ini salah guna kuasa jentera kerajaan. Kedua berlaku sogokan apabila pengundi ditawarkan motosikal dan peralatan elektrik dalam program tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, selepas laporan polis dibuat Ketua Gerak Gempur Pemuda PN Kluang, Shazni Sulaiman pada petang Sabtu.

Badrul Hisham meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) bertindak bagi memastikan PRK DUN Mahkota berjalan dengan bersih.

Sementara itu Mohd Shazni berkata, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah turut dilihat muncul dalam semua program yang menawarkan hadiah ribuan ringgit termasuk motorsikal.

Jelasnya, ia jelas merupakan satu kesalahan penyogokan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Jutaan ringgit habis digunakan untuk program yang turut libatkan artis dan selebriti tempatan turun berkempen sementara kakitangan awam dikerah dan dipaksa hadir sebagai petugas tetapi juga sebagai pengunjung program.

"Pemuda PN Kluang ingin ingatkan Menteri Besar dan BN, rakyat Mahkota tidak perlukan pesta, sogokan dan pembaziran wang rakyat tetapi masalah utama di sini ialah isu banjir dan kemudahan awam usang yang perlu ditangani," katanya.