MoU pembangkang: Adakah kami pengemis, soal Azmin

KLUANG - Ahli pembangkang ibarat pengemis sekiranya Perikatan Nasional (PN) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada wakil rakyat mereka.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, wakil rakyat pembangkang akan terikat dengan syarat yang menghalang daripada mereka terus bersuara demi kepentingan rakyat.

Justeru, beliau mempersoalkan di mana Kerajaan Perpaduan meletakkan nilai demokrasi dan politik subur di negara ini.

"Lihat MoU yang ditawarkan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang, adakah kami pengemis, peminta sedekah? Adakah kami ini nak dilayan dan dikekang suara kami dalam Parlimen?

"Sedangkan yang memilih kami adalah rakyat di bawah sana menerusi sistem demokrasi yang cukup telus dan terbuka.

"Kita menang besar dalam PRU (pilihan raya umum) lepas, kita bersuara dalam Parlimen demi rakyat dan negara," soalnya ketika ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini pada Rabu.

Ahad lalu, PN membuat ketetapan sebulat suara menolak MoU mengenai peruntukan pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penolakan itu dilakukan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa dan mengokong kebebasan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula menyatakan kerajaan terbuka sekiranya MoU mengenai peruntukan pembangkang mahu dirunding semula.